Kejayaan Asmaa Chekima meraih Hadiah Tun Zaki Tun Azmi (Antarabangsa) pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali ke-26 menjadi inspirasi kepada ramai orang apabila beliau menegaskan agama dan usaha telah menjadi pendorong utama dalam perjalanan akademiknya.
Asmaa, 23, graduan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan dengan Kepujian (Perniagaan Antarabangsa) yang memegang kerakyatan Algeria, memanjatkan kesyukuran kepada Allah s.w.t kerana memudahkan kejayaannya dan sangat terkejut kerana memperolehi hadiah tersebut.
Asmaa berkata tidak ada rahsia bagi kejayaan yang diperolehi melainkan dua “peraturan” yang ditetapkannya iaitu berdoa selalu dan sentiasa berusaha keras kerana ada impian ingin ditunaikan.
“Yang pertama adalah sentiasa berdoa tanpa henti dan jangan putus asa dalam segala hal, kerana tiada perkara yang dianggap mustahil sekiranya ada impian, yang penting terus berdoa dan berserah kepada Allah.
“Peraturan kedua saya adalah perlu sentiasa berusaha dan bekerja keras, jangan jadi pemalas, dan jangan berhenti separuh jalan dalam mencapai impian yang diinginkan.
“Saya pernah merasa seperti tidak akan berjaya dalam enam semester ini, namun Allah sentiasa memberi peluang berulang kali, dan Alhamdulillah, saya dapat melalui semuanya,” katanya.
Asmaa turut berkongsi bahawa dalam proses pembelajaran, keseimbangan antara kerja dan kehidupan adalah penting.
“Kita mesti pandai membahagikan dan menguruskan masa dengan bijak, sentiasa rancang jadual belajar dan aktiviti rutin lebih awal.
“Apa yang penting adalah jangan pernah abaikan solat, jaga solat dan sentiasa berdoa kerana dengan melakukan perkara tersebut, ia dapat membantu kita merasakan masa sentiasa mencukupi,” katanya lagi.
Asmaa juga menjadikan ayahnya, seorang profesor yang merupakan ahli akademik terawal di UMS sebagai sumber inspirasi utama dalam memperoleh cita-citanya.
“Saya juga membuat perancangan tentang hala tuju dan cita-cita saya dalam megikuti jejak langkah ayah saya iaitu menjadi profesor satu hari nanti, namun bagi saya, kerana saya masih muda, saya rasa ingin menceburi bidang korporat dan bekerja di syarikat terlebih dahulu.
“Kemudian, dalam beberapa tahun akan datang, saya merancang untuk menyambung pelajaran dan mengikuti jejak langkah ayah saya secara berperingkat dengan melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dan PhD.
“Akhirnya, saya bercita-cita untuk menyambung legasi ayah saya sebagai seorang profesor,” ujar Asmaa,
Asmaa Chekima merupakan salah satu graduan yang memperoleh kelas satu dalam programnya bersama graduan - graduan lain yang diraikan pada Majlis Konvokesyen UMS tahun ini.
(artikel disediakan Muhammad Fakhrul Hakim Nasrudin, Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UMS)