Graduan UMS Disaran Fokus kepada Nilai Tambah dan Pembelajaran Berterusan

 

Graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) disaran agar memberikan fokus kepada nilai tambah dan pembelajaran berterusan bagi menghadapi cabaran industri yang pelbagai.

Menurut Pro-Canselor UMS, Tan Sri Azman Hashim, dunia memerlukan graduan yang memiliki spektrum yang luas serta berdaya saing untuk memastikan daya tahan masa depan.

“Hakikat bahawa anda menerima skrol ijazah hari ini bukanlah penamat kepada perjalanan pembelajaran dan proses menuntut ilmu.

“Sebaliknya, ia mungkin menjadi permulaan baru kerana proses belajar adalah usaha yang berterusan dan berlangsung sepanjang hayat.

“Pembelajaran bukan lagi satu pilihan, ianya merupakan satu keperluan untuk masa depan kerana keadaan berubah begitu pantas, semua boleh berubah dalam sekelip mata dengan teknologi.

“Oleh itu, adalah penting untuk terus mengikuti perkembangan terkini dan menyesuaikan diri dengan perubahan serta mengemas kini pengetahuan serta kemahiran diri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan 709 graduan sidang lima Majlis Konvokeseyen UMS kali ke-26.

Tambah beliau, setiap graduan perlu mengatasi cabaran dalam berkembang dan sentiasa berusaha mencapai tahap kemahiran, kekuatan, serta kebijaksanaan yang lebih tinggi.

“Mendapat ilmu dan kemahiran tambahan adalah menambah nilai kepada diri sendiri.

“Teruskan mempelajari perkara baru mengenai Kecerdasan Buatan (AI), teknologi, ICT dan bahasa, kerana ilmu ini dapat menambah kualiti dalam diri seterusnya menjadikan seseorang lebih berdaya saing.

“Saya sendiri sudah berusia 85 tahun dan masih membaca artikel dan belajar mengenai dunia siber, keselamatan siber, AI, mata wang kripto, bitcoins, pengkomputeran dan e-banking,” katanya.

Beliau turut mengingatkan kepada para graduan untuk sentiasa meningkatkan ilmu dan penguasaan terhadap bahasa Inggeris.

“Tidak dapat dinafikan bahawa tahap penguasaan bahasa Inggeris menunjukkan penurunan yang ketara selama beberapa tahun dan dekad.

“Bahasa pengantar antarabangsa ini merupakan alat penting yang dapat membantu anda mencapai kejayaan dalam hidup.

”Sebanyak 80% daripada pengetahuan di dunia dapat diakses melalui bahasa Inggeris, menunjukkan betapa pentingnya bahasa ini untuk dikuasai oleh setiap pelajar,” ujar beliau.

Pada sidang tersebut, beliau menyampaikan skrol ijazah kepada graduan dari Fakulti Kejuruteraan, Fakulti Pertanian Lestari, dan Fakulti Sains dan Sumber Alam.

 

(artikel disediakan Norafiqa Samil, Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UMS)