Kekurangan Bukan Penghalang, Graduan OKU Peroleh Ijazah Kelas Pertama

 

Jessica Ching Ai Lyn, 24, graduan Orang Kurang Upaya (OKU) Pembelajaran (Asperger’s Syndrome) membuktikan kekurangan bukan penghalang apabila meraih Ijazah Kelas Pertama pada Majlis Konvokesyen ke-26 Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Graduan dari Fakulti Perhutanan Tropika (FPT) itu meluahkan rasa lega dan gembira setelah selesai menamatkan pengajian.

Jessica menamatkan pengajian dan menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Dengan Kepujian (Biologi Pemuliharaan) dengan memperoleh keputusan purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.84.

Menurutnya, ibu bapa merupakan sumber kejayaan dan susuk yang sentiasa memberikan sokongan tanpa henti sepanjang bergelar sebagai seorang pelajar prasiswazah.

Chua May Ling, ibu kepada Jessica berkata cabaran terbesar bagi anaknya adalah ketika ingin melakukan pembentangan di hadapan pensyarah dan rakan-rakan.

“Cabaran utama bagi anak saya adalah apabila dia perlu membuat pembentangan dan menyampaikan idea secara lisan di hadapan pensyarah dan rakan.

“Dia menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi dan bersosial dengan baik, apatah lagi bercakap di hadapan ramai orang,” katanya.

Ayah iaitu Ching Kok Hin berkata pada awalnya mereka sukar melepaskan anaknya sendirian di UMS kerana bimbang Jessica tidak dapat beradaptasi dengan baik.

“Bukan mudah bagi kami melepaskannya sendirian untuk menyambung pengajian, namun sebagai ibu bapa kami juga perlu membiarkannya untuk melihat sejauh mana dia boleh melangkah atas usaha sendiri.

“Kami juga melihat sokongan dan bantuan daripada para pensyarah terutamanya Dr Zaiton dari Pusat Pengurusan Orang Kurang Upaya UMS yang sentiasa membantu dalam pengurusan keperluan sepanjang berada di UMS.

 

“Fasiliti bagi pelajar kurang upaya yang terdapat di UMS juga sangat baik dan kemudahan ini dapat memberi keselesaan sepanjang proses pembelajaran,” ujarnya.

 

Graduan yang berasal dari Petaling Jaya itu menerima skrol ijazah yang disampaikan oleh Pro-Canselor UMS, Tan Sri Azman Hashim bertempat di Dewan Canselor UMS.

 

(artikel disediakan Norafiqa Samil, Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UMS)