Bekas Pesakit Kanser Raih Ijazah Kelas Pertama Pada Konvokesyen UMS ke-26

 

Dugaan yang dihadapi oleh Shamsulmezah Shamsul, bekas pesakit kanser, tidak mematahkan semangatnya untuk mencapai kejayaan.

Kekuatan dan semangat dibuktikan apabila graduan dari Fakulti Perhutanan Tropika (FPT) Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu dinobatkan sebagai penerima Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama pada Majlis Konvokesyen UMS kali ke-26.

Shamsulmezah, 24, yang berasal dari Tamparuli berjaya menamatkan pengajian dalam program Perhutanan Tropika Antarabangsa dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) cemerlang 3.77.

Shamsulmezah berjuang melawan kanser ovari peringkat awal yang didiagnosis sewaktu semester keempat pengajiannya pada bulan Ogos 2023.

“Menerima anugerah ini adalah impian yang menjadi kenyataan.

“Ketika saya didiagnosis, saya hampir berputus asa, tetapi ibu bapa saya, terutama ibu, tidak pernah membiarkan saya menyerah.

“Mereka menjadi tulang belakang kekuatan saya,” katanya.

Shamsulmezah menambah, sokongan kuat daripada ibu serta bimbingan daripada pensyarah membolehkan beliau menyiapkan tesis yang bertajuk “Distribution Modelling of Graphium stratiotes (Papilionidae) and Delias eumolpe (Pieridae) in Sabah, Malaysia” meskipun berhadapan dengan kesan sampingan rawatan kemoterapi.

Beliau menunjukkan ketabahan luar biasa dengan mengimbangi antara rawatan dan tanggungjawab akademik.

“Saya sering belajar dari rumah kerana menghadiri kelas secara fizikal terlalu sukar, namun saya tidak pernah berhenti mencatat nota sendiri dan mengulang kaji dengan tekun, walaupun hanya mampu belajar sedikit demi sedikit.

“Ibu saya adalah penjaga utama ketika saya di hospital.

“Dia bukan sahaja menjaga saya, malah menemani saya menyiapkan tesis, walaupun perlu keluar pada waktu tengah malam untuk mencari tempat kerja yang sesuai,” katanya lagi.

Shamsulmezah merancang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang entomologi dengan hasrat menjadi penyelidik serangga, selain mahu terus menyumbang kepada ilmu perhutanan dan pemuliharaan biodiversiti di Malaysia.

Shamsulmezah turut terpilih sebagai penerima Anugerah Kelestarian Perhutanan dalam satu acara ringkas selepas sidang enam Majlis Konvokesyen UMS, yang disaksikan Pro Canselor UMS, Tan Sri Azman Hashim.

 

(artikel disediakan Muhammad Yatimi Saliman, Pelajar Latihan Industri, Pusat Komunikasi Korporat UMS)