UMS Iktiraf Graduan Cemerlang FPT Melalui Anugerah Kelestarian Perhutanan

 

Dalam usaha memperkukuh komitmen terhadap bidang perhutanan dan kelestarian alam sekitar, Universiti Malaysia Sabah (UMS) memberi pengiktirafan kepada lima graduan cemerlang Fakulti Perhutanan Tropika (FPT) menerusi Anugerah Kelestarian Perhutanan.

FPT dalam satu kenyataan menyebut, lima pelajar dari lima program berbeza yang ditawarkan di FPT itu dipilih setelah memenuhi kriteria Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.50 ke atas, serta telah menyiapkan tesis berkaitan dengan bidang kajian pengurusan hutan.

Setiap penerima anugerah tersebut juga mendapat wang tunai sebanyak RM1,000 hasil tajaan KTS Plantation Sdn. Bhd yang bertujuan mengiktiraf sumbangan mereka dalam bidang pengurusan hutan lestari dan biodiversiti.

Salah seorang penerima, Cyril Ann Daniel, ketika ditemui media berkongsi, kajian berkaitan spesies orkid menerusi tajuk Morphological Study of Jewel Orchid Species at Mount Alab, Crocker Range Park, Sabah telah membolehkannya terpilih sebagai penerima anugerah tersebut.

"Kajian ini merekodkan ciri-ciri morfologi tiga spesies orkid kecil yang terdapat di kawasan tersebut, serta memberikan pemahaman mendalam tentang flora tempatan," jelas Cyril Ann.

Mengulas lanjut, Cyril Ann yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains (Biologi Pemuliharaan) turut menekankan sokongan keluarga sebagai pendorong utama dalam kejayaannya.

"Ibu bapa saya adalah inspirasi terbesar, dan saya sentiasa berusaha melakukan yang terbaik untuk," katanya dengan penuh rasa syukur.

Cyril Ann yang bercadang untuk melanjutkan pengajian dalam bidang biodiversiti dan biosistematik di UMS, turut berkongsi minatnya terhadap kajian serangga mentadak di Sabah, yang kurang diberi perhatian berbanding rama-rama.

"Mentadak adalah spesies unik dan saya berharap kajian saya nanti dapat menyumbang kepada pemahaman lebih mendalam mengenai spesies ini di Borneo," ujar Cyril Ann.

Cyril Ann menerima penganugerahan Anugerah Kelestarian Perhutanan dalam satu acara ringkas di Dewan Bankuasi, UMS yang turut disaksikan oleh Pro Canselor UMS, Tan Sri Azman Hashim dan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor.

 

(artikel disediakan Norfaizah Abdullah, Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UMS)