Buku Dan Monumen Pulau Layang-Layang: Simbol Penyelidikan Berimpak Dan Kedaulatan Malaysia

 

Pulau Layang-Layang memainkan peranan penting dalam era geopolitik yang semakin kompleks pada hari ini terutama dalam konteks Laut China Selatan.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Ir. Dr Zaini Ujang berkata, penyelidikan ini bukan sahaja melambangkan keberanian intelektual tetapi juga dedikasi luar biasa para penyelidik dan pembantu penyelidik dalam menjalankan amanah besar kepada negara.

“Sebagai penyelidik, anda memegang amanah besar untuk menjadi pemangkin perubahan.

“Jadikanlah penyelidikan anda bukan sahaja sebagai usaha akademik, tetapi juga sebagai sumbangan kepada pembentukan masa depan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Pelancaran Pembinaan Replika Monumen Kedaulatan dan Buku Pulau Layang-Layang, Malaysia.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, usaha ini melambangkan pencapaian penting dalam bidang penyelidikan sekali gus memperkukuhkan kedudukan UMS di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Majlis pada hari ini menonjolkan keupayaan UMS dalam memanfaatkan hasil penyelidikan dan menterjemahkannya ke dalam bentuk yang nyata.

“Ini membuktikan kesungguhan UMS dalam menyumbang tenaga dan kepakarannya kepada Malaysia, selain turut mencerminkan tekad dan semangat warga universiti dalam menyokong agenda penyelidikan yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, penyelidikan yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Pulau-Pulau Kecil (SIRC), Fakulti Sains dan Sumber Alam, UMS itu turut melibatkan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi lain seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) , dan Universiti Sains Malaysia (USM).

“Penyelidikan ini melibatkan pelbagai disiplin yang merangkumi geopolitik, sosioekonomi, biodiversiti, dan geomorfologi untuk menyokong tuntutan kedaulatan Malaysia serta mengenal pasti peluang pembangunan lestari.

“Pelancaran Replika Monumen Kedaulatan dan buku Pulau Layang-Layang: Malaysia’s Gem in the South China Sea adalah komitmen UMS terhadap kecemerlangan penyelidikan, memajukan pengetahuan dengan impak yang meluas terhadap isu nasional, dan memupuk generasi akan datang untuk menghargai kedaulatan negara,” ujar beliau.

Hadir sama pada majlis tersebut Ahli Lembaga Pengarah UMS, Prof. Dr. Baba Musta; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly; Pengarah SIRC, Dr. Farrah Anis Adnan; dan Ketua Projek, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah