Pusat Perakaunan UMS Anjur Persidangan Antarabangsa Kali Pertama

 

Pusat Perakaunan, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan Borneo International Accounting Conference (BIAC) 2024, baru-baru ini.

Menurut Dekan FPEP, Profesor Madya Dr. Mohd. Rahimie Abd Karim, persidangan tersebut antara lain bertujuan memupuk kerjasama, kolaborasi daripada institusi berbeza dan memajukan penyelidikan dalam bidang perakaunan dan bidang yang berkaitan di peringkat antarabangsa.

Katanya, ia juga bagi memberi peluang kepada pelajar dan ahli akademik daripada institusi pendidikan tempatan dan antarabangsa untuk membentangkan kertas penyelidikan mereka dan mendapat maklum balas daripada para pakar, seterusnya meningkatkan kualiti penyelidikan mereka.

“Lebih 100 peserta dari China, Indonesia dan Malaysia menyertai persidangan kali ini. Sepertiga daripadanya hadir secara fizikal manakala yang lainnya menyertai secara dalam talian.

“Saya amat mengalu-alukan anda semua ke UMS dan berharap anda dapat menikmati masa yang bermanfaat dan memuaskan semasa persidangan ini,” katanya ketika merasmikan BIAC yang berlangsung di Dewan Bankuasi UMS.

Sementara itu, Pengarah Pusat Perakaunan selaku Pengerusi Persidangan, Andy Lee Chen Hiung berkata, Pusat Perakaunan FPEP UMS sebelum ini telah menganjurkan seminar berskala kecil dan percuma yang mengumpulkan kertas-kertas pembentangan daripada peserta tempatan sahaja.

Namun katanya pada tahun ini pihaknya mengambil langkah berani untuk menganjurkan BIAC 2024 buat pertama kalinya dengan melibatkan peserta luar negara.

“Sebanyak 78 kertas kerja telah dibentangkan oleh ahli akademik dan pelajar sarjana muda dan kedoktoran daripada Universiti Utara Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaya, AMC University College, Universitas Diponegoro, Indonesia, Universitas Andalas, Indonesia, Universitas Sarjanawiyata Tamansiswa (UST),

Indonesia, Universiti of Shanghai for Science and Technology (Business School), China dan Universiti Negeri Jakarta, Indonesia.

“Saya amat berterima kasih kepada rakan kongsi dan rakan usahasama iaitu University of Shanghai for Science and Technology, China, Universiti Sarjanawiyata Tamansiswa University, Indonesia, AMC University College, Sabah dan Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP) UMS untuk sokongan dalam persidangan ini.

“Saya juga mengucapkan terima kasih dengan sokongan tidak berbelah bahagi daripada pelbagai badan profesional perakaunan termasuk Institut Akauntan Malaysia (MIA); Association of Chartered Certified Accountants (ACCA); Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA); dan Chartered Institute of Management Accountants (CIMA)”.

“Saya berharap persidangan ini akan dapat membantu mengubah idea para peserta menjadi realiti dan semoga persidangan ini menjadi wadah untuk mempererat hubungan akademik dan profesional antara pelbagai negara di peringkat tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Hadir sama, Profesor Dr. Yu Qianlong, dari University of Shanghai for Science and Technology (Business School) China; Pengerusi Jawatankuasa Wilayah Sabah, Institut Akauntan Malaysia (MIA) Dusun Chong Ket Vui dan Ketua Pejabat Wilayah Sabah, Institut Akauntan Malaysia (MIA), Susan Maiks.