UMS Tonggak Pembangunan Modal Insan

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) merupakan institusi pengajian tinggi yang bertanggungjawab melahirkan modal insan yang berkualiti di Sabah.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, UMS merupakan sebuah universiti komprehensif, dibarisi oleh kakitangan akademik dan pentadbiran yang mempunyai kelayakan yang setanding dengan universiti awam yang lain.

“UMS sentiasa melahirkan pelajar-pelajar yang aktif dan cemerlang serta mengharumkan nama UMS di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, selari dengan peranannya sebagai institusi peneraju dalam melahirkan modal insan yang berkualiti di negeri ini.

“Sebagai sebuah gedung yang melahirkan bakal pemimpin masa depan, UMS mengorak langkah awal menjadi universiti terawal melaksanakan agenda pemerkasaan mahasiswa yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi.

“Dalam pemerkasaan mahasiswa, UMS telah memberikan autonomi kepada pelajar dalam pengurusan kelulusan aktiviti termasuk agihan kewangan dan pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Lafaz Ikrar dan Aku Janji Pelajar Baharu Sempena Minggu Suai Mesra Sesi 2024/2025 Kali ke-30 di Dewan Canselor, UMS.

Menurut beliau, tanpa mengabaikan kesejahteraan pelajar, pihak universiti telah menyediakan sebanyak 10 inisiatif bantuan kebajikan pelajar melalui Tabung Amanah Kebajikan Pelajar.

“Ini sekali gus memberi manfaat kepada seramai 1,877 orang pelajar dengan jumlah bantuan sebanyak RM572,468.18.

“UMS juga telah melaksanakan Persidangan Parlimen Mahasiswa sebagai salah satu inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi dalam menerapkan semangat kesatuan pelajar bagi medan untuk mengangkat suara mahasiswa dalam penentuan dasar dan polisi universiti,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut, para pelajar baharu UMS turut mendengar ucapan yang disampaikan Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan, serta amanat yang disampaikan Ketua Menteri Sabah merangakap Pro-Canselor UMS, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.

Para pelajar baharu juga turut membacakan lafaz ikrar yang dipimpin pelajar baharu Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Putri Nurathirah Hirmizali di hadapan barisan pengurusan tertinggi, ahli lembaga pengarah dan ahli Senat UMS.