UMS, UNIMAS dan KPDN kerjasama jalankan kajian penstabilan harga barang di Sabah, Sarawak dan Labuan

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dilantik untuk menjalankan kajian selama enam bulan mengenai Penstabilan Harga Barang di Sabah, Sarawak dan Labuan sebagai langkah jangka panjang untuk menstabilkan harga barangan keperluan terpilih.

Dalam ucapan ketika merasmikan Program Khidmat Masyarakat berteraskan Penyelidikan anjuran UMS, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali menyatakan bahawa usaha tersebut selari dengan kerangka Madani dan bertujuan untuk menstabilkan harga barang di seluruh negara.

Beliau berharap kajian tersebut dapat memberikan pemahaman yang lebih mendalam mengenai perbezaan harga dan seterusnya membantu kerajaan dalam merangka dasar yang lebih berkesan untuk menangani isu kos sara hidup yang membebani rakyat.

Armizan juga bersetuju untuk menggunakan kepakaran dan hasil penyelidikan UMS dalam membangunkan produk dan perkhidmatan, serta menjalankan kajian-kajian berkaitan yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat Sabah.

“Kerjasama erat antara kementerian, universiti, dan komuniti tempatan adalah kunci untuk memajukan ekonomi setempat dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr. Kasim Haji Mansor menyatakan komitmen universiti dalam membantu komuniti melalui pelbagai inisiatif penyelidikan dan pembangunan.

“UMS telah berjaya membangunkan sumber bekalan air bersih kepada 50 buah rumah di Pitas menerusi pengerudian air bawah tanah.

“Kualiti dan bekalan air ini dipantau secara berterusan menggunakan teknologi Internet of Things (IoT) untuk memastikan penduduk kampung mendapat akses kepada air bersih yang berterusan,” katanya.

Beliau juga menambah bahawa Papar terkenal dengan pelbagai jenis makanan kering yang mempunyai potensi besar untuk dikembangkan.

“UMS bersedia untuk membantu usahawan tempatan dalam meningkatkan kualiti produk melalui penambahbaikan kandungan, pembungkusan, dan strategi pemasaran yang lebih efektif, terutamanya untuk tujuan eksport.

“Selain itu, UMS akan membantu usahawan tempatan mendapatkan pensijilan halal, yang bukan sahaja dapat membuka peluang pasaran lebih luas, tetapi juga meningkatkan keyakinan pengguna terhadap produk tempatan,” ujar beliau.

Pada program tersebut turut diadakan pameran penyelidikan yang menonjolkan pelbagai inovasi UMS, antaranya ‘Batik Borneo’ dan ‘VIR Seni’ oleh Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) UMS, kajian geologi serta sistem pencarian dan perawatan air bawah tanah untuk bekalan air bersih, serta penyelidikan berkaitan makanan ternakan ruminan oleh penyelidik-penyelidik UMS.

Penerangan mengenai hasil-hasil penyelidikan ini disampaikan sendiri oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UMS, Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly.

Antara hasil inovasi yang diketengahkan ialah ‘Batik Borneo’, yang mengetengahkan keunikan seni batik tempatan dengan motif tradisional Borneo, bertujuan memperluaskan pasaran produk ini ke persada antarabangsa.

Program tersebut turut menyaksikan penyampaian sumbangan Bakul Rahmah kepada masyarakat setempat sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meringankan beban kos sara hidup golongan yang memerlukan.

Pada program tersebut juga beberapa pensyarah turut berkongsi ilmu kepada komuniti melalui ceramah Asas Perniagaan yang disampaikan oleh Awang Ahmad serta ceramah Penggunaan Teknologi IoT dalam Pemakanan dan Kesihatan Ternakan oleh Dr. Razak Ali Lee.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau, Datuk Juil Nuatim.