Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh jalinan kerjasama dengan pihak industri bagi memberi manfaat khususnya kepada pelajar dan kakitangan.
Terbaharu, FPEP UMS menandatangani surat niat bersama Kadazandusun Chamber of Commerce and Industry (KCCI).
Dekan FPEP, Profesor Madya Dr. Mohd. Rahimie Abd. Karim berkata, program itu antara lain bertujuan membantu meningkatkan akademik di samping berkongsi kepakaran dalam kalangan warga UMS, pihak KCCI dan komuniti.
“Selain itu, ia juga untuk berkongsi pengetahuan melalui penyertaan aktif menggunakan pelbagai platform termasuk seminar, persidangan, bengkel dan lain-lain yang berkaitan dengan latihan, penyelidikan dan pentadbiran yang biasanya boleh memberi manfaat kepada UMS dan KCCI.
“Saya berharap kerjasama ini dapat memberi faedah kepada KCCI dan juga fakulti dan seterusnya memberi kesan yang positif kepada pelajar dan juga masyarakat setempat melalui aktiviti atau program-program yang bakal dijalankan,” ujar Rahimie.
Tambah Rahimie, sepanjang pentadbiran Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor, beliau turut menekankan sumbangan dan penglibatan UMS terhadap komuniti.
“Sebenarnya di bawah pentabiran Naib Canselor sekarang, beliau memang menekankan kepada sumbangan UMS kepada komuniti dengan tagline ‘UMS Leading Towards Innovative Societies’.
“Apa yang kita mahu adalah kewujudan UMS ini dapat memberi manfaat kepada orang ramai khususnya kepada komuniti,” tambah beliau.
Sementara itu Presiden Kadazandusun Chamber of Commerce and Industry (KCCI) Datuk Ladislaus Maluda berkata, surat niat yang ditandatangani akan membuka ruang kerjasama bagi kedua-dua pihak.
Katanya, pihak KCCI mengalu-alukan kerjasama strategik antara kedua-dua pihak atas dasar peranan dan kekuatan masing-masing dalam memajukan bidang ekonomi dan perniagaan dalam kalangan penduduk, penuntut universiti dan usahawan yang sedia ada.
Ladislaus berkata penyempurnaan surat niat tersebut akan menjadi titik permulaan kepada perhubungan dan kerjasama strategik antara FPEP dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun Malaysia.
Pada majlis menandatangani surat niat tersebut, FPEP UMS diwakili oleh Rahimie manakala KCCI diwakili oleh Ladislaus Maluda.
Hadir sama, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Madya Dr. Suddin Lada; Timbalan Dekan (Akademik & Antarabangsa), Dr. Sharifah Milda Amirul serta Setiausaha Agung KCCI, Pius Jaua.