UMS komited pimpin transformasi digital, kukuhkan kedudukan dalam era teknologi

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) komited untuk terus memimpin transformasi digital dan mengukuhkan kedudukan UMS dalam era teknologi yang semakin pesat.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata transformasi digital merupakan teras utama Pelan Strategik UMS terutama dalam Key Result Area ketujuh (KRA7).

Katanya, KRA7 itu selaras dengan lima pelan strategik UMS yang bertujuan memperkukuh struktur dan sistem pendidikan di UMS.

“KRA7 memberi tumpuan kepada dua aspek utama iaitu kepuasan dan pemantauan teknologi yang memfokuskan kepada pemerkasaan infrastuktur wi-fi di seluruh kampus, memastikan semua warga kampus universiti dapat mengakses maklumat dan sumber dengan efisien.

“Kedua, kepuasan penglibatan warga kampus yang mendorong penglibatan semua pihak dalam menjayakan pendigitalan universiti, memperkukuh semangat kerjasama dan inovasi dalam setiap inisiatif.

“UMS telah melaksanakan pelbagai inisiatif pendigitalan berimpak tinggi, termasuk UMS Go Super App, HROline, SMP dan ITEL,” katanya.

Kasim memaklumkan sebanyak 4,000 akses poin tanpa wayar di seluruh kawasan kampus bagi memastikan setiap warga kampus dapat berhubung dan mengakses maklumat dengan mudah dan pantas.

“Inisiatif-inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan tetapi juga memperkaya pengalaman pembelajaran pelajar.

“UMS sentiasa berusaha untuk menambah baik dan berinovasi bagi memastikan perkhidmatan dalam keadaan yang cekap dan memuaskan,” katanya ketika merasmikan Bulan Digital UMS 2024 dan Ekspo Perkhidmatan Pendidikan dan Digital UMS (EPDUMS) 2024, baru-baru ini.

Tambah Kasim, strategi masa depan adalah memastikan Artificial Intelligent (AI) dan teknologi digital berfungsi sebagai pemangkin yang dapat membantu menyelesaikan masalah dan mempermudah kehidupan manusia.

Katanya, penggunaan teknologi mesti dilakukan secara bertanggungjawab dan beretika dan UMS akan terus menjadi peneraju dalam mengintegrasikan teknologi dengan nilai-nilai kemanusiaan.

“Salah satu inisiatif yang telah kita laksanakan adalah penggunaan sistem AI Powered Surveillance atau lebih dikenali sebagai AiS, yang merupakan sistem keselamatan canggih CCTV yang digunakan di UMS.

“Dengan semua usaha ini, kita yakin bahawa sinergi antara manusia dan teknologi dapat meningkatkan pengalaman pembelajaran di UMS, menjadikan universiti kita lebih cemerlang di persada global.

“Kita kini berada di ambang transformasi yang akan menentukan masa depan pendidikan dan pekerjaan. Namun kita harus ingat bahawa teknologi adalah alat dan manusia adalah penggerak utama.

“Hubungan antara alat dan manusia didorong oleh integriti serta bijaksana agar sinergi ini menghasilkan hasil yang bermanfaat kepada masyarakat,” tambahnya lagi.

EPDUMS 2024 dengan tema ‘AI Synergy: Transforming Ideas into Reality’ menyediakan platform pusat sehenti untuk perkongsian perkhidmatan digital dan teknologi bagi meningkatkan kesedaran serta literasi digital warga UMS.

Penganjuran Bulan Digital dan EPDUMS 2024 juga menyaksikan pelancaran lima aplikasi yang boleh digunakan oleh pelajar dan kakitangan UMS iaitu aplikasi Hopin Bus Tracking (pengesanan pergerakan bas UMS), E-Linkages, UMS Digital Card, Students Development Point V2 dan Tungnagu (storan awan UMS).