Kolaborasi antara Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Hospital UMS telah berjaya menghimpunkan pakar, pengamal perubatan dan kesihatan, serta penyelidik untuk membincangkan isu dan perkembangan bidang kesihatan melalui penganjuran Simposium Ultrasound Obstetrik Lanjutan (Symposium on Advanced Obstetric Ultrasound – SAVOS).
Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) FPSK, Prof. Madya Dr. Fairrul Masnah berkata, penganjuran simposium itu penting sebagai platform untuk berkongsi pengetahuan dan pandangan khususnya berkaitan Ultrasound Obstetrik.
“Ultrasound obstetrik kini memainkan peranan penting dalam penjagaan pranatal moden.
“Teknologi ini menawarkan pelbagai manfaat yang memudahkan pemantauan kesihatan ibu dan bayi sepanjang kehamilan.
“Selain itu, ia turut membolehkan pengesanan awal komplikasi, sekali gus menyumbang kepada keselamatan dan kesihatan ibu dan bayi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan simposium tersebut di FPSK UMS.
Tambah Fairrul, selain perkongsian pengetahuan dan pertukaran idea, simposium itu turut menjadi platform kepada para peserta untuk saling berkenalan dan memperkukuhkan rangkaian profesional.
“Segala perbincangan yang diadakan dalam simposium ini diharap mampu menjadi titik permulaan kepada inspirasi baru dalam mempertingkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan, yang akhirnya akan memberi manfaat kepada masyarakat umum, khususnya dalam penjagaan kesihatan ibu dan janin,” ujar beliau.
Simposium tersebut menyaksikan lapan sesi ceramah melibatkan pakar obstetrik dan ginekologi dari Chang Gung Memorial Hospital, Taipei, Hospital Umum Sarawak, Putra Medical Centre Alor Setar, dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah.
Lebih 50 peserta hadir pada simposium yang berlangsung selama dua hari itu.