UMS Lancar Buku Laporan Darjah Kegembiraan

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah melancarkan Buku Laporan Darjah Kegembiraan UMS (DK-UMS) bagi tempoh 2018-2023 sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Universiti (AKU) Tahun 2024 yang berlangsung di Pusat Islam UMS, baru-baru ini.

Menurut kenyataan dari Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM), pelancaran Buku Laporan DK-UMS itu adalah sebahagian daripada usaha UMS untuk memantau dan mengukur tahap kegembiraan kakitangan.

“Kaji selidik DK-UMS pertama kali dilaksanakan pada tahun 2018, dan pada tahun ini, BPSM bersama Jawatankuasa Kaji Selidik DK-UMS telah memperbaharui serta menambah baik sistem kaji selidik tersebut untuk edisi 2024.

“Sistem kaji selidik tersebut telah dibuka sejak 19 Julai lalu dan sehingga kini, seramai 2,206 kakitangan (67%) telah melengkapkan kaji selidik tersebut dengan purata DK-UMS mencapai 74%, iaitu berada pada tahap Bahagia,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar memaklumkan objektif DK-UMS antara lain juga adalah bagi memandu pembentukan pelan tindakan yang relevan untuk meningkatkan darjah kegembiraan kakitangan.

“Keutamaan yang diberikan kepada kesejahteraan dan kebahagiaan kakitangan adalah penting untuk mewujudkan persekitaran kerja yang positif dan menggalakkan produktiviti kecemerlangan,” ujar beliau.

Pelancaran buku laporan itu disempurnakan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Haji Mansor.

Hadir sama Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Psikologi dan Pendidikan, Prof. Madya Dr. Muhammad Idris Bahari yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kaji Selidik DK-UMS.