Modul Tagalit hasil inovasi penyelidik Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjadi medium dalam menyampaikan ilmu pengetahuan berkaitan sistem Tagal kepada masyarakat secara interaktif dan berkesan.
Menurut Ketua Penyelidik inovasi tersebut, Prof. Madya Dr. Jurry Foo, kaedah interaktif adalah pendekatan terbaik menyampaikan maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran melibatkan generasi muda, khususnya berkaitan sistem Tagal.
“Sistem Tagal adalah kaedah pengurusan sistem biosfera atau ruang hidupan dalam sistem bumi, khususnya bagi ekosistem sungai.
“Justeru, amat penting untuk generasi muda memahami sistem Tagal kerana sistem pengurusan ekosistem berasaskan komuniti ini telah dilaksanakan di sungai-sungai di Sabah dan diiktiraf sebagai sistem pemuliharaan yang mapan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan sempena penyertaan FSSK UMS dalam Kembara Sains Borneo 2024, di Ranau dan Tuaran baru-baru ini sebagai penceramah dan pempamer.
Mengulas lanjut, Jurry berkata TagaLit sebagai modul literasi sistem Tagal telah dimanfaatkan sebagai satu daripada topik borak Sains dan pameran Kembara Sains Borneo 2024.
“Kaedah penyampaian borak Sains TagaLit bertajuk Syok Bah Tagal dijalankan secara interaktif menggunakan lagu daripada buku modul bertajuk ‘Mari Nyanyi Syok Bah Tagal’ sebagai kaedah interaktif menyampaikan maklumat kepada peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah.
“Manakala papan permainan (Game board) dan tikar permainan (Game mat) berasaskan sistem Tagal dipamerkan sebagai aktiviti interaktif pengajaran dan pembelajaran di reruai TagaLit.
“Modul ini yang dihasilkan oleh penyelidik UMS melalui penyelidikan sistem Tagal selama lebih sedekad, turut mendapat pengiktirafan dalam pertandingan inovasi berprestij di Jerman,” katanya.
Ujar beliau, penyelidik UMS komited untuk menghasilkan lebih banyak modul berasaskan Tagal sebagai usaha untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat berkaitan sistem Tagal dan kepentingannya.