UMS, Rasa Ria Resort Kerjasama Akademik, Penyelidikan Sains Makanan dan Pemakanan

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) sekali lagi menjalin kerjasama dengan Shangri-La Rasa Ria resort bagi memperkukuh bidang penyelidikan sains makanan dan pemakanan melalui Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) UMS, baru-baru ini.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata memorandum persefahaman (MoU) tersebut antara lain bertujuan memberikan peluang pembelajaran yang luas, latihan industri dan pendedahan kepada pelajar mengenai sektor perhotelan.

Katanya ia juga penting bagi memastikan pelajar-pelajar UMS mendapat pengalaman praktikal dalam persekitaran sebenar serta mengembangkan kemahiran yang relevan dengan keperluan industri.

“Selain itu, melalui kerjasama ini kita dapat menjalankan penyelidikan bersama bagi memajukan bidang sains makanan dan pemakanan, mencetuskan penemuan baharu, pembangunan produk, serta meningkatkan kelestarian dan keselamatan makanan.

“Di samping itu juga, kolaborasi ini bermanfaat kepada pembangunan dan pembaharuan kurikulum akademik terus relevan dan sejajar dengan keperluan industri melalui pemerkasaan program pembangunan profesional serta perkongsian pengetahuan antara fakulti dan pihak industri.

“Ia juga bagi menggalakkan perkongsian kepakaran dan latihan untuk pertumbuhan bersama, membolehkan kedua-dua pihak memperoleh manfaat daripada pengalaman, pandangan, dan pembangunan profesional secara bersama,” katanya.

Tambah Kasim, MoU tersebut menandakan era baharu dalam hubungan antara UMS dan Shangri-La Rasa Ria Resort.

“Ia akan membuka peluang berharga kepada pelajar, penyelidik, dan tenaga pengajar untuk bekerjasama rapat dengan pakar industri dalam usaha memacu inovasi dan kecemerlangan akademik," kataya.

Sementara itu, Pengurus Besar Shangri-La Rasa Ria Resort, Fiona Hagan menekankan kepentingan dalam hubungan akademia dan industri.

"Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan UMS dalam inisiatif bermakna ini. Kolaborasi ini bukan sahaja akan melahirkan bakat baharu, malah turut membuka laluan kepada amalan inovatif dan lestari dalam sektor perhotelan serta sains makanan.

“Dengan termeterainya Memorandum Persefahaman ini, UMS dan Shangri-La Rasa Ria Resort komited untuk terus memperkukuh kerjasama yang memberi manfaat jangka panjang kepada pelajar, tenaga akademik, dan industri perhotelan.

“Diharapkan inisiatif ini akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak peluang kolaborasi yang inovatif, seterusnya menyumbang kepada kemajuan bidang sains makanan dan pemakanan di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.

Hadir sama, Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; Dekan FSMP, Prof. Ts. Dr. Hasmadi Mamat serta Pengarah ESG Shangri-La Rasa Ria Resort, Yvonne Sipain.