Siswa UMS Bantu Tingkat Kemahiran Insaniah Pelajar SMK Tambunan

 

Siswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan Program Citra Orator 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Tambunan baru-baru ini sebagai usaha untuk meningkatkan aspek kemahiran insaniah pelajar sekolah berkenaan.

Program anjuran Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman Tun Fuad (KKTF) Sesi 2023/2024 itu antara lain bertujuan untuk meningkatkan lagi pengetahuan orator dalam aspek- aspek komunikasi dan kepimpinan serta memperbaiki sahsiah diri dalam kalangan pelajar Tingkatan Enam sekolah tersebut.

Majlis perasmian program itu telah disempurnakan oleh Pengetua SMK Tambunan, Johari Ag. Damit.

Menurut beliau, program tersebut adalah satu inisiatif yang baik kerana bukan sahaja memberi ruang kepada pelajar untuk mencuba teknik-teknik pengucapan awam secara praktikal, malah turut memperkukuh kemahiran insaniah seperti kerjasama, kepimpinan dan kecerdasan emosi.

“Saya sangat berbangga kerana program ini dapat mempersiapkan diri para pelajar terutama sekali bagi persediaan pelajar Tingkatan Enam yang akan menempuh alam universiti kelak.

“Menerusi program ini, para peserta berpeluang untuk terlibat dalam simulasi orator, sesi refleksi komunikasi berkesan, sesi temuduga spontan dan sesi interaktif bersama fasilitator dalam kalangan mahasiswa.

“Pengisian-pengisian sebegini mampu memperkasa potensi pelajar secara holistik,” katanya.

Tambah beliau, pendekatan program tersebut yang bersifat inklusif dan mesra pelajar juga dilihat sebagai satu kaedah yang tepat untuk menyemai keyakinan diri serta membina jati diri pelajar yang bersedia menghadapi cabaran komunikasi pada masa akan datang.

“Justeru, sekalung penghargaan saya ucapkan atas kesudian semua ahli jawatankuasa pelajar yang telah memilih sekolah ini untuk menjalankan program berimpak seperti ini.

“Saya berharap agar program sebegini akan diteruskan lagi pada masa akan datang dan berharap agar sekolah ini menjadi salah satu sekolah yang terpilih bagi menjalankan program seperti ini lagi,” ujar Johari.

Program yang dianjurkan buat julung kalinya itu memberi pendedahan kepada para pelajar tentang cara berkomunikasi secara efektif dan mempersiapkan diri sebelum memasuki alam pendidikan tinggi pada masa akan datang.

Program tersebut turut memberikan perkongsian ilmu secara terbuka kepada pelajar Tingkatan Enam sekali gus KKTF sebagai sebuah kolej yang aktif dari segi pelaksanaan program dan aktiviti yang melibatkan akademik, intelektual, kemasyarakatan, kepimpinan, kerohanian, dan pembangunan sahsiah mahasiswa.

Hadir sama pada majlis tersebut Penolong Kanan Tingkatan 6, Ester Linus dan guru kaunseling merangkap Ketua Warden Asrama SMK Tambunan, Efibery Parantis.