Ocean Celebration 2025 Usaha UMS Tingkat Kesedaran Kelestarian Lautan

 

Sambutan Ocean Celebration 2025 di Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjadi satu usaha berterusan universiti bersama pelbagai agensi dalam meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan kesihatan dan kelestarian lautan yang seharusnya menjadi tanggungjawab semua pihak.

Program anjuran bersama Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) UMS, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dan Coral Triangle Initiative (CTI) Malaysia menggabungkan tiga sambutan lain, iaitu sambutan Hari Lautan Sedunia, Hari Segitiga Terumbu Karang dan Hari Penyu Laut Sedunia yang diadakan pada bulan Jun setiap tahun.

Menurut Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, ketiga-tiga acara itu menekankan kepentingan meningkatkan kesedaran berkaitan pemeliharaan lautan dan biodiversitinya.  

“Hari Lautan Sedunia mengingatkan kita tentang kepentingan lautan dalam menyokong kehidupan, kerana ia membekalkan makanan, oksigen dan pelbagai sumber yang tidak ternilai.

“Hari Segitiga Terumbu Karang pula menonjolkan kekayaan biodiversiti kawasan Segitiga Terumbu Karang, iaitu wilayah yang merangkumi enam buah negara: Indonesia, Malaysia, Filipina, Papua New Guinea, Kepulauan Solomon dan Timor-Leste.

“Bagi sambutan Hari Penyu Laut Sedunia, ini memberi peluang kepada kita untuk lebih menumpukan perhatian terhadap cabaran yang dihadapi oleh penyu laut serta keperluan kritikal untuk melindungi penyu laut dan habitat semula jadi mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perasmian Ocean Celebration 2025 di Galeri Azman Hashim, UMS.

Perasmian acara tersebut disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kelestarian Alam) NRES, Datuk Nor Yahati Awang.

Tambah beliau, IPMB komited untuk membawa perubahan positif dan meletakkan keutamaan terhadap kelestarian lautan.

“Kami sedang berusaha untuk mencapai matlamat Dekad Sains Lautan untuk Pembangunan Lestari anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), Matlamat Inisiatif Segitiga Terumbu Karang (CTI Goals), serta dasar tempatan seperti Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2016–2025 dalam usaha memelihara biodiversiti serta habitatnya,” kata Kasim.

Dalam pada itu, Nor Yahati dalam ucapannya menegaskan usaha melindungi dan memulihkan lautan perlu bermula dengan amalan kehidupan lestari oleh setiap individu.

Katanya, walaupun tindakan yang kecil namun apabila dilakukan secara kolektif mampu membawa kepada satu perubahan yang besar.

“Dalam hal ini, kita perlukan kerjasama komuniti, organisasi dan kerajaan dalam mencipta sesuatu yang memberi impak.

“Pendekatan Malaysia MADANI yang menekankan kelestarian dan kesejahteraan mampu menyumbang secara positif terhadap kesihatan lautan melalui amalan penggunaan bertanggungjawab, pengurangan pencemaran dan pelaksanaan ekonomi pusingan.

“Pelaburan dalam penyelidikan, pembangunan penyelesaian inovatif, penubuhan zon perlindungan marin dan dasar pemuliharaan yang kukuh amat penting untuk diteruskan,” katanya.

Justeru itu, sambutan Ocean Celebration umpamanya telah menyediakan platform kepada masyarakat untuk bersama-sama belajar, meraikan dan memperjuangkan kelestarian lautan.

Sambutan Ocean Celebration 2025 yang bermula sejak 9 Jun hingga 19 Jun itu menyaksikan pelbagai aktiviti dilaksanakan, antaranya Kempen Kesedaran Perubahan Iklim, Pertandingan Fotografi Dasar Laut, Hari Kesedaran Alga, Program Bersama Komuniti Pesisir Kota Belud: Pengimbangan Karbon Biru, dan Pertandingan Memasak Makanan Laut.

Selain itu, turut diadakan Bengkel Kitar Semula (Waste to Worth & Zero Waste), Hari Terbuka Akuarium dan Art Booth, Bengkel Rumpai Laut, Program Pembersihan Pantai, Program SCIMATECH 2025: MarineXplorers, dan Program Professor@School STI 100³.

Hadir sama pada acara perasmian sambutan tersebut Pengarah Jabatan Perikanan Sabah, Datin Dr. Shuhadah Mustapha; Pengarah Taman-Taman Sabah, Dr. Maklarim Lakim; Timbalan Pengarah (Akademik dan Antarabangsa) IPMB, Prof. Madya Dr. Zarinah Waheed; dan Pengerusi Ocean Celebration 2025, Dr. Archier Chung Fung Chen.