Program Food Festival 2025 (FoodFest ’25) mampu mengetengahkan para pelajar di Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkaitan inovasi produk makanan dan meneroka cabaran sebenar dalam industri makanan.
Bertemakan “Taste the Future of Flavour”, program itu menghimpunkan pelbagai aktiviti yang menyatukan aspek pembelajaran, penyelidikan dan keterlibatan industri.
Antaranya, sejumlah 140 pelajar terlibat dalam pertandingan pameran produk makanan, merangkumi 64 pelajar bagi pertandingan Food Product Development, iaitu para pelajar ditugaskan mencipta suatu produk makanan baharu berasaskan buah-buahan tropika.
Manakala 76 pelajar terlibat dalam pertandingan pameran produk inovasi bertemakan “Innovation for Sustainable Food System”, yang memberi peluang untuk meneroka cabaran sebenar dalam industri makanan, serta menghasilkan inovasi yang menyumbang kepada sistem makanan yang lebih mampan dan lestari.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Mohd. Arifin Haji Mohd. Arif dalam ucapan sempena perasmian program tersebut berkata, pelaksanaan FoodFest’25 yang mempamerkan produk inovasi berasaskan sumber tempatan membuktikan peranan penting universiti dalam menghubungkan ilmu, penyelidikan dan teknologi kepada pasaran.
Katanya, usaha itu selari dengan hasrat Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah yang sentiasa menggalakkan inisiatif inovasi makanan yang bersifat lestari, berimpak kepada ekonomi luar bandar, dan membina komuniti yang lebih berdaya saing.
“Saya amat berbesar hati melihat usaha universiti seperti UMS yang bukan sahaja melahirkan graduan berkualiti, tetapi turut memperkasa ekosistem makanan yang mampan dan berinovasi.
“Maka, pendekatan kolaboratif antara universiti, industri dan komuniti adalah sangat dialu-alukan bagi membina jaringan nilai tambah yang berimpak tinggi,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh wakil, Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Harun Durabi.
Tambah beliau, usaha itu turut dilihat sebagai satu landasan strategik yang bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan modal insan, tetapi juga memperkukuh daya saing produk makanan negara di peringkat serantau.
Terdahulu, Dekan FSMP, Prof. Ts. Dr. Hasmadi Mamat ketika mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, program yang merupakan inisiatif tahunan FSMP itu telah mendapat sokongan dari pelbagai pihak industri.
“Antaranya Sabah Durian and Tropical Fruit Planters Association (MaSDa), Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Adabi Sabah Distribution, Korporasi Pembangunan Desa (KPD), Kumpulan BTC Berhad (BTC), dan Shangrila Rasa Ria Resort.
“Adalah menjadi hasrat UMS untuk memastikan jalinan hubungan erat bersama rakan industri bagi membantu melahirkan pelbagai produk berinovatif, selain membantu mencapai hasrat kerajaan menghasilkan produk yang lebih mampan melalui Penyelidikan & Pembangunan (R&D) dan inovasi meningkatkan produktiviti dan daya saing industri produk makanan,” ujar beliau.
Pada majlis tersebut, Harun turut berkesempatan menyampaikan hadiah kemenangan bagi pertandingan inovasi makanan dan gerai terbaik.