Forum ilmiah “Red Ribbon Talk 2025” yang dianjurkan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) baru-baru ini menjadi platform terbaik untuk advokasi isu sosial masyarakat dalam kalangan belia khususnya pelajar universiti.
Forum tersebut yang mengupas dua isu sosial yang serius, saling berkait dan menarik perhatian masyarakat iaitu LGBT dan HIV/AIDS menghimpunkan ahli panel dari pelbagai latar belakang bidang dan agensi bagi membincangkan isu tersebut dari perspektif sosial, kesihatan dan agama.
Dekan FSSK, Prof. Dr. Asmady Idris dalam ucapan aluannya sempena program tersebut menekankan penganjuran program itu tepat pada masanya, lebih-lebih lagi apabila negeri Sabah telah disenaraikan sebagai negeri ketiga tertinggi di Malaysia yang mencatatkan kes baharu HIV, iaitu sebanyak 344 kes (10.8 peratus) daripada keseluruhan 3,185 kes yang dilaporkan pada tahun 2024.
“Meskipun terdapat penurunan dari segi jumlah kes berbanding tahun-tahun sebelumnya, angka yang dikongsikan dalam Dewan Negara pada Mac 2025 ini membimbangkan dan memerlukan perhatian serius daripada semua pihak.
“Justeru itu, usaha ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan para pelajar yang juga berperanan sebagai duta UMS untuk menyebarkan maklumat dan kefahaman kepada rakan sebaya, ahli keluarga serta masyarakat secara umum berkait HIV/AIDS dan LGBT,” katanya.
Sementara itu, Ketua JHEP UMS, Azmi Jumat ketika membacakan teks ucapan perasmian penutupan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin berkata, isu LGBT dan HIV/AIDS bukan sekadar isu peribadi mahupun kesihatan malah merupakan cabaran yang merentas disiplin dan memerlukan perhatian serius pelbagai pemegang taruh serta perspektif termasuklah agama, undang-undang, psikologi, pendidikan dan hak asasi.
“Meskipun dasar di Malaysia dan nilai agama kita menolak perlakuan LGBT, pendekatan yang kita ambil harus bersifat berhikmah, mendidik dan penuh empati, selain tidak mendiskriminasi tetapi perlu usaha ke arah membimbing mereka kembali ke jalan yang lebih sejahtera, sihat dan bermaruah.
“Forum seperti ini adalah satu langkah penting dalam membina kefahaman yang lebih mendalam dan memecahkan stigma serta salah faham terhadap kedua-dua isu ini.
“Justeru, saya berharap siswa-siswi dapat mengambil manfaat daripada perkongsian para ahli panel yang pakar dalam bidang masing-masing dan menjadikan perbincangan ini sebagai asas untuk tindakan yang lebih proaktif di peringkat kampus dan masyarakat,” ujar beliau.
Antara ahli panel yang terlibat dalam forum tersebut Ketua Program Perubatan Keluarga, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), UMS, Prof. Madya Dr. Mohd Nazri Mohd Daud; Rev. Fr. Peter Abas dari Stella Maris Catholic Church; Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Islam UMS, Dr. Mohd Solleh Abd Razak; Brother Yap Por Chik dari Mettirayama Buddhist Temple; Pegawai Kaunseling HIV, Klinik Kesihatan Menggatal, Wennie Veronica Bian; Pensyarah Kanan FSSK, Dr. Trixie M Tangit; dan Prep Navigator, JEJAKA, Adzrin Mumin.