UMS, IPT Sabah Jayakan Projek Pemindahan Ilmu Di Kg. Keguraan, Kota Belud

 

Warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama-sama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan institusi pendidikan tinggi (IPT) di Sabah turun padang bagi menyantuni komuniti Kota Belud khususnya penduduk Kg. Keguraan menerusi program Jelajah Pendidikan Tinggi Untuk Komuniti @ Sabah baru-baru ini.

Antara IPT Sabah yang turut terlibat adalah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah, Kolej Komuniti Kota Marudu, dan Kolej Komuniti Beaufort.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor memaklumkan, selain pelbagai aktiviti dari UMS dan IPT Sabah, beberapa projek pemindahan ilmu daripada ahli akademik kepada komuniti turut dilaksanakan, antaranya projek pemindahan ilmu berkaitan fertigasi tumbuhan dan sayuran, usahawan cendawan, pemasangan sistem solar, penghasilan mee kuning, dan aneka pizza talam.

“Inisiatif seperti ini perlu diperluaskan agar manfaatnya dirasai oleh lebih ramai, khususnya komuniti luar bandar yang memerlukan akses kepada peluang pendidikan dan pembangunan diri.

“Biarlah program ini menjadi pemangkin kepada lahirnya lebih ramai anak watan yang berilmu, berdaya saing dan mampu membina masa depan yang lebih cerah untuk diri, keluarga dan masyarakat,” katanya ketika berucap sempena perasmian program tersebut di SK Keguraan, Kota Belud.

Program itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud.

Sementara itu, Mustapha ketika berucap berkata penganjuran program tersebut adalah peluang terbaik untuk berkongsi pelbagai bidang kepakaran yang terdapat di IPT kepada komuniti setempat.

Katanya, program itu turut menjadi platform dalam memberi pendedahan kepada murid-murid sekolah dengan suasana sebenar pembelajaran di peringkat pendidikan tinggi, serta memupuk minat mereka terhadap STEM menerusi permainan interaktif dan pameran yang disediakan.

“Justeru itu, saya ingin menyeru ibu bapa dan masyarakat agar sentiasa menyokong anak-anak untuk melanjutkan pelajaran.

“Jangan jadikan kekangan ekonomi atau lokasi sebagai halangan, kerana hari ini kerajaan menerusi KPT telah menyediakan pelbagai bentuk bantuan, biasiswa, pinjaman dan program laluan alternatif untuk semua,” ujar beliau.

Pada acara tersebut, Mustapha turut menyampaikan surat tawaran kemasukan ke IPT dan wang pendahuluan dari PTPTN kepada tiga pelajar yang terpilih.

Selain program pemindahan ilmu, turut diadakan aktiviti mengindahkan kawasan sekolah menerusi lukisan mural, pameran pendidikan dari UMS dan IPT Sabah, pameran kesihatan dari Hospital UMS (HUMS), saringan kesihatan dan konsultasi perubatan, pemberian ubat-ubatan dan kaca mata percuma, bicara kesihatan mental, pemeriksaan dan rawatan gigi, serta pemeriksaan kesihatan khas wanita.

Hadir sama pada program tersebut Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Ahmad Rizal Adnan; Rektor UiTM Kampus Kota Kinabalu, Prof. Madya Dr. Rozita @ Uji Mohammed; Guru Besar SK Keguraan, Sharifah Hj Gundah; dan Ketua Kampung Kg. Keguraan, Awang Asrul Maslah.