Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor mengingkatkan para pelajar agar menggunakan keistimewaan dan peluang yang disediakan di universiti sebagai tanggungjawab kepada ibu bapa, keluarga dan universiti.
Beliau menasihatkan para pelajar untuk memperkukuh iltizam serta menzahirkan usaha dalam menuntut ilmu dengan menyertai program-program kurikulum dan kokurikulum yang disediakan.
Katanya juga, adalah menjadi tanggungjawab kepada semua pelajar untuk menjaga nama baik dan imej universiti sepanjang pengajian.
’’Sebagai pelajar universiti sama ada di peringkat asasi, sarjana muda mahupun sarjana doktor falsafah, anda adalah ejen dan duta kecil UMS. Kalau anda berada di luar, anda membawa imej universiti.
’’Bagaimana gerak geri anda sebagai pelajar universiti, ia mewakili keseluruhan pelajar UMS. Janganlah disebabkan tindak tanduk di luar sebagai pelajar, anda tidak berlaku adil kepada pelajar yang lain di UMS yang semuanya fokus kepada kecemerlangan,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Lafaz Ikrar dan Perasmian Penutupan Minggu Suai Mesra Pelajar Baharu Program Asasi UMS sesi 2025/2026 di Dewan Canselor UMS pada Khamis.
Selain itu, Kasim berkata UMS bertekad untuk menjadi pusat penyebaran ilmu pengajian pendidikan tinggi yang berkualiti kepada para pelajar serta melahirkan graduan yang bukan sahaja mengkhusus tetapi seimbang dan berketerampilan.
’’Universiti wujud disebabkan permintaan masyarakat sekeliling yang ingin melihat perubahan hidup menerusi pendidikan tinggi.
’’Selain bekalan transkrip akademik yang bakal dibawa untuk memasuki alam pekerjaan, aspek-aspek lain seperti keterlibatan dalam aktiviti universiti juga dapat meningkatkan tahap keyakinan diri,’’ katanya.
Terdahulu, Pengarah Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST) UMS, ChM. Dr. Newati Wid berkata pihaknya komited untuk meneruskan misi menyediakan lebih ramai pelajar program prasiswazah pada masa akan datang.
’’Tahun ini program Asasi UMS sesi 2025/2026 menerima seramai 566 pelajar melibatkan pelajar Asasi Sains (430), Asasi Teknologi Maklumat (56), Asasi Agrisains (28) dan program baharu Asasi Sains Sosial (53).
’’Ke semua program asasi adalah satu proses peralihan yang akan ditempuh oleh para pelajar, peralihan daripada budaya persekolahan kepada budaya pembelajaran kendiri di peringkat universiti.
’’Kita akui bahawa para pelajar bakal berdepan dengan pelbagai cabaran baharu. Oleh yang demikian, gunakanlah fasa pengajian selama setahun ini untuk meneroka dan mempelajari sebanyak mungkin ilmu demi menyahut misi UMS untuk mewujudkan universiti dengan teras keilmuan, inovasi dan kemanusiaan,’’ katanya.
Lafaz ikrar pelajar baharu program Asasi UMS diketuai oleh Jeremy Landa Juil.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Profesor Dr. Rossita Shapawi, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Profesor Madya Dr. Raman Noordin dan Pengarah Pusat Persediaan Sains dan Teknologi UMS, ChM. Dr. Newati Wid.