UMS Sedia Kerjasama Bincang Solusi Air Kg. Kaniogan

 

Pasukan dari Makmal Hidup Rural Water Supply (RuWaS) Fakulti Sains dan Teknologi (FST) Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersedia bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi membantu penduduk di Pulau Kaniogan, Beluran, untuk mendapatkan bekalan air bersih.

Menurut salah seorang penyelidik RuWaS FST, Profesor Kehormat Dr. Kawi Bidin, pihaknya mengalu-alukan penglibatan ramai pihak dari segi penyaluran dana mahupun bantuan lain untuk membangunkan sistem yang boleh menyelesaikan masalah air di kampung tersebut.

Katanya pasukan penyelidik UMS telah membuat cerapan potensi air bawah tanah, kualiti air, serta potensi sistem rawatan dari sumber air sedia ada di pulau berkenaan

“Beberapa sampel air turut dikumpul untuk dibawa ke makmal bagi ujian seterusnya. Isu ini bukan sahaja melibatkan keperluan asas penduduk, malah memerlukan usaha kolektif dan komitmen jangka panjang demi kesejahteraan komuniti.

“Kami percaya bahawa dengan sokongan yang padu, kita mampu merealisasikan satu penyelesaian yang berimpak dan lestari," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas meninjau keadaan di Kampung Kaniogan, baru-baru ini.

“Kami mempunyai pengalaman dan teknologi yang sesuai untuk diaplikasikan di kawasan luar bandar. Apa yang diperlukan hanyalah kerjasama serta sokongan kewangan untuk melaksanakannya secara berkesan,” tambahnya.

Pulau Kaniogan dihuni oleh kira-kira 1,200 penduduk dan mempunyai masalah bekalan air bersih untuk diminum mahupun sebagai kegunaan harian.

Menurut Ketua Kampung Kaniogan, Haji Azmi Madlis, penduduk terpaksa mendapatkan bekalan air dari pekan Beluran dan menyebabkan kos sara hidup mereka turut meningkat.

“Lebih membimbangkan kami, untuk mendapatkan bekalan air itu hanya boleh diakses oleh penduduk dengan menggunakan pengangkutan air sahaja,” ujarnya.

Terdahulu Makmal Hidup RuWaS FST UMS telah pun membangunkan beberapa sistem mikroloji bekalan air untuk kegunaan penduduk luar bandar di Pitas, Sabah.