UMS dan Universitas Brawijaya Perkukuh Kerjasama Akademik dan Penyelidikan Serantau

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universitas Brawijaya (UB), Indonesia, memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Bangunan Canselori UMS.

Majlis menandatangani MoU tersebut disempurnakan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor yang mewakili UMS, manakala UB diwakili oleh Rektor, Prof. Dr. Widodo.

Menurut Kasim pemeteraian MoU itu bukan sekadar simbolik, tetapi mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh hubungan akademik dan penyelidikan antara dua institusi utama di rantau ini.

Katanya MoU tersebut melambangkan kerjasama strategik antara dua universiti yang bermula menerusi pemeteraian Surat Hasrat (Letter of Intent) antara fakulti berkaitan, dan seterusnya berkembang menjadi hubungan akademik yang kukuh.

“Pelbagai inisiatif telah berjaya dilaksanakan termasuk program pertukaran pelajar dan staf, penyelidikan bersama, serta penglibatan dalam kuliah dan syarahan akademik.

“Antara kolaborasi yang telah direalisasikan ialah Brawijaya International Student Mobility Award 2024, UBStars 2023 dan 2024, Program Mobiliti Staf Antarabangsa di kedua-dua universiti, Program 3-dalam-1 bagi tahun 2023 dan 2024 serta penerbitan bersama dalam jurnal akademik bertaraf antarabangsa,” jelasnya.

Tambah Kasim, UMS yakin bahawa kerjasama tersebut akan membawa manfaat besar bukan sahaja kepada kedua-dua universiti, malah kepada komuniti rantau ASEAN secara keseluruhannya.

“Semoga hubungan yang kita bina hari ini akan terus berkembang kukuh dan menjadi contoh kepada jaringan kerjasama pendidikan tinggi antarabangsa,’’ katanya.

Sementara itu, Rektor Universitas Brawijaya, Prof. Dr. Widodo turut menyatakan komitmen UB untuk memperluas kolaborasi dalam pelbagai bidang pengajian dan penyelidikan, khususnya dalam isu perubahan iklim, kelestarian marin dan biodiversiti.

Turut hadir pada majlis tersebut, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Hal Ehwal Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. Rossita Shapawi; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Dr. Ir. Rosalam Sarbatly; Wakil Rektor Bidang Perancangan, Kerjasama dan Internasionalisasi UB, Prof. Dr. Andi Kurniawan serta Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar.