Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) telah menjalin satu kerjasama strategik bersama Sekolah Menengah Kota Kinabalu (KKHS) bagi memacu generasi muda melalui pendidikan yang menumpukan kemajuan terhadap bidang Kecerdasan Buatan (AI), teknologi digital, dan teknologi lestari.
Kerjasama tersebut dimeterai menerusi satu majlis menandatangani Surat Hasrat (LoI) antara kedua-dua pihak di FKI UMS baru-baru ini.
LoI ditandatangani Dekan FKI, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Hanafi Ahmad Hijazi mewakili UMS, manakala KKHS diwakili Pengerusi Lembaga Pengarah Sekolah, Datuk Ben Lim Kiat Kong.
Menerusi pemeteraian LoI tersebut kedua-dua pihak bakal bekerjasama ke arah memeterai satu Memorandum Perjanjian (MoA) secara rasmi yang bertujuan mengukuhkan jalinan jangka panjang dalam latihan akademik, penyelidikan, dan pembangunan komuniti sebagai memacu visi bersama untuk melahirkan bakat digital serta menggerakkan inovasi lestari.
Kerjasama itu akan memfokuskan kepada lima bidang strategik bagi melengkapkan guru dan pelajar dengan kemahiran dan nilai-nilai sebagai persediaan kepada cabaran masa depan.
Bidang pertama adalah berkaitan Pendidikan dan Latihan AI, dengan UMS akan menjalankan siri bengkel, kursus, dan latihan berkaitan digital dan AI kepada guru dan pelajar KKHS, merangkumi pengetahuan asas dalam AI, pembelajaran mesin, dan sains data.
Selain itu, kolaborasi tersebut akan memperkukuh Projek Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) melalui aktiviti penyelidikan bersama yang melibatkan tenaga pengajar dan pelajar dari kedua-dua institusi, dengan projek tersebut bakal meneroka aplikasi sebenar AI dalam pelbagai sektor termasuk pendidikan, pelancongan, pertanian, kesihatan, sukan dan pemuliharaan alam sekitar.
Satu Pertandingan AI dan Hackathon akan turut dianjurkan bersama untuk menggalakkan kreativiti, kerja berpasukan dan inovasi, dengan harapan melalui cabaran berasaskan digital dan AI yang interaktif, pelajar akan membina kemahiran menyelesaikan masalah secara praktikal dalam persekitaran kolaboratif yang dinamik.
Bidang strategik keempat menyentuh usaha memperjuangkan AI untuk Pembangunan Komuniti, melalui projek digital dan berasaskan AI yang direka untuk mempertingkatkan kehidupan masyarakat setempat, dengan fokus akan diberikan kepada bidang seperti bandar pintar, pemantauan alam sekitar, dan penambahbaikan perkhidmatan awam termasuk pendidikan, pelancongan, pertanian, kesihatan dan pengangkutan.
Akhir sekali, kedua-dua institusi akan mempromosikan Kesedaran dan Etika AI dalam menekankan inovasi beretika serta impak sosial teknologi melalui penganjuran seminar dan sesi perbincangan yang akan dikendalikan oleh pakar UMS.
Terdahulu, Ben Lim dalam ucapannya menekankan keperluan penting untuk mempersiapkan pendidikan bagi masa depan dalam era kemajuan teknologi yang pesat dan cabaran global.
“Kerjasama ini adalah satu inisiatif yang berpandangan jauh ke hadapan dengan membekalkan kemahiran digital kritikal serta pemikiran inovatif dan bertanggungjawab kepada guru dan pelajar.
“Pendidikan harus berevolusi seiring dengan keperluan abad ke-21, di mana AI, automasi, dan transformasi digital semakin mempengaruhi setiap industri dan aspek kehidupan.
“Model pembelajaran tradisional perlu dilengkapi dengan pembelajaran digital terkini, pengalaman praktikal, serta kesedaran etika bagi melahirkan individu yang tangkas dan celik teknologi serta bersedia menghadapi masa depan,” katanya.
Mohd. Hanafi dalam ucapannya juga menaruh keyakinan tinggi terhadap kerjasama tersebut yang dilihat bukan sekadar satu perjanjian akademik, tetapi merupakan pelaburan strategik dalam masa depan pendidikan dan masyarakat.
“Kerjasama ini mencerminkan visi bersama kita untuk menyediakan generasi akan datang bagi menghadapi landskap digital yang sentiasa berubah.
“Dengan melabur dalam pendidikan AI dan inovasi beretika di peringkat sekolah menengah, kita bukan sahaja membentuk saintis dan jurutera masa depan, tetapi juga warganegara global yang bertanggungjawab.
“Sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi peneraju serantau dalam AI dan transformasi digital, pendedahan awal kepada konsep AI, pembelajaran secara praktikal dan rangka kerja etika akan memperkasakan pelajar untuk menyumbang secara bermakna dalam dunia yang semakin didorong oleh sistem pintar dan keputusan berasaskan data,” katanya.
Beliau turut menyatakan harapan terhadap kerjasama tersebut untuk menjadi model kepada hubungan masa depan antara universiti dan sekolah menengah, serta menyemai budaya pembelajaran sepanjang hayat, penyelidikan rentas bidang, dan impak berasaskan komuniti.
Hadir sama pada majlis tersebut Naib Pengerusi Lembaga Pengarah KKHS, Tan Sri Datuk Lim Pau Chang dan Penasihat KKHS, Datuk Hiew Thien Choi.