Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah diberi kepercayaan untuk menjalinkan penyelidikan bersama Celler Therapeutics Sdn Bhd bagi kajian terhadap terapi sel yang mampu membantu rawatan dan penyembuhan bagi penyakit Diabetes Jenis 2 (Type-2 Diabetes) dan Infarksi Miokardium atau serangan jantung.
Kerjasama tersebut dimeterai melalui Perjanjian Penyelidikan Kontrak (CRA) yang ditandatangani antara kedua-dua pihak dalam satu majlis di Fakulti Sains dan Teknologi (FST) UMS.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor mewakili UMS menandatangani dokumen perjanjian tersebut, manakala Celler Therapeutics diwakili pengarahnya, Sasha Omar Firdaus Aamir Nordin.
Melalui kerjasama tersebut, Celler Therapeutics, sebuah syarikat biofarmaseutikal terkemuka di Asia Tenggara, akan mereka bentuk kajian, membekalkan produk terapi sel gred klinikal, serta sokongan teknikal dan saintifik, manakala UMS akan menjalankan kajian praklinikal haiwan yang diperlukan.
Kerjasama itu merupakan langkah penting pertama dalam kajian serta pembangunan potensi terapi regeneratif inovatif, termasuk produk sel stem mesenkimal manusia (Human Mesenchymal Stem Cell - MSC).
Perkongsian antara industri dan akademia ini turut membuka ruang kepada inovasi dalam aplikasi terapi sel dan gen.
Dalam pada itu, Sasha Omar dalam ucapannya berkata, Malaysia merupakan antara negara yang mempunyai kadar Diabetes tertinggi di Asia dengan kira-kira satu daripada lima rakyat Malaysia menghidap penyakit tersebut.
“Ubat-ubatan konvensional yang diberikan kepada pesakit Diabetes bertujuan untuk mengawal paras gula dalam darah, memperlahankan kemajuan penyakit dan mengurangkan risiko komplikasi, namun tidak menyembuhkan penyakit dan Diabetes Jenis 2 biasanya bertambah teruk dari masa ke masa.
“Walaupun masih dalam peringkat awal, sebahagian daripada penyelidikan MSC yang sedang dijalankan oleh Celler Therapeutics memfokuskan kepada pemulihan dan penjanaan semula sel penghasil insulin dalam pankreas.
“Dengan memulihkan fungsi pankreas, berkemungkinan besar ini dapat membalikkan atau mengurangkan kemajuan penyakit Diabetes,” katanya.
Bagi fokus kedua dalam kerjasama tersebut, beliau berharap satu lagi MSC milik Celler Therapeutics yang dibangunkan untuk menjana semula tisu jantung boleh membantu pesakit Infarksi Miokardium.
“Kejadian ini berlaku apabila aliran darah ke bahagian jantung terhalang, selalunya disebabkan oleh pembekuan darah, dan ini menghalang oksigen sampai ke otot jantung, sekali gus menyebabkan kawasan terlibat rosak atau mati.
“Jika kerosakan ini dapat dipulihkan, fungsi jantung boleh dikembalikan dan kualiti hidup pesakit boleh ditingkatkan,” katanya.
Beliau menambah, kajian praklinikal haiwan amat penting dalam merapatkan jurang antara penyelidikan makmal dan ujian klinikal manusia kerana mampu membantu memastikan terapi baharu adalah sah secara saintifik, selamat, dan diuji secara beretika sebelum diberikan kepada pesakit dalam kajian klinikal.
“Kami memiliki portfolio calon terapi sel yang luas, justeru bekerjasama dengan institusi yang dipercayai seperti UMS membantu kami menambah baik dan memajukan rangka kerja pembangunan terapi kami,” katanya.
Sementara itu, Kasim dalam ucapannya berkata kerjasama tersebut merupakan satu perkongsian berimpak tinggi antara universiti dan pihak industri.
“Kolaborasi ini dijangka dapat memberikan pemahaman mendalam dalam farmakologi berasaskan sel, satu bidang kepakaran yang jarang diceburi bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat global, yang seterusnya akan membantu meningkatkan daya saing terhadap program penyelidikan kami.
“UMS juga turut berharap akan kerjasama ini dapat dikembangkan bersama Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) dan Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB) yang mempunyai pelbagai kepakaran dalam bidang perubatan dan bioteknologi,” ujar beliau.
Hadir sama pada majlis tersebut Pengarah Eksekutif Kumpulan Permai Polyclinic Group, Datuk Margaret Lim dan Dr. Nicholas Jeremiah; Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; Dekan FST, Prof. Dr. Jualang Azlan Gansau; Ketua Projek dari FST UMS, Dr. Suhaini Sudi dan delegasi dari Celler Therapeutics, Pratip Kumar dan Dr. Karthik Chandran.