Universiti Malaysia Sabah (UMS) kini mengorak langkah sebagai peneraju dalam pembangunan sukan berasaskan teknologi dengan memperkasakan pendekatan analisis genetik dan data kesihatan dalam pematauan prestasi serta pembangunan atlet sabah.
Inisiatif ini dinyatakan semasa lawatan rasmi Perbadanan Sukan Sarawak ke UMS di Pusat HEAL, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), baru-baru ini.
Pendekatan ini dijangka mampu mengubah landskap pemilihan atlet di Sabah melalui program pemantauan fizikal berdasarkan analisis saintifik termasuk daya tahan kardiovaskular, kekuatan otot, pergerakan fungsional, dan keseimbangan postur.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata UMS bersedia menjadi pusat kecemerlangan sukan serantau melalui kemudahan seperti Hospital Pengajar UMS (HPUMS) dan penyelidikan berimpak tinggi di bawah unit Healthy Through Active Living (HEAL).
“UMS kini sedang giat membangunkan HPUMS yang bakal menjadi pusat rujukan kesihatan moden bukan sahaja untuk Sabah dan Borneo, tetapi juga untuk rantau Asia Tenggara.
“Menariknya, Heal juga telah memulakan inisiatif penyelidikan yang signifikan iaitu pembangunan sistem Talent Identification (Talent ID) berasaskan analisis genetik yang bertujuan untuk mengenal pasti potensi atlet sejak awal,” katanya.
Tambah Kasim melalui pendekatan tersebut juga, kumpulan penyelidik HEAL yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. D. Maryama akan berusaha mengenal pasti potensi bakat sukan dari peringkat awal.
“Ia sekaligus berpotensi besar untuk meningkatkan Pembangunan bakat sukan terutama bagi komuniti luar bandar yang sering berdepan keterbatasan akses kepada kemudahan latihan dan pengesanan bakat konvensional,” tambahnya lagi.
“Lawatan rasmi ini dilihat bukan sahaja dapat memperkukuh hubungan baik antara dua negeri serumpun Sabah dan Sarawak, malah ia juga mampu membuka potensi kerjasama strategik dalam pembangunan sukan, latihan profesional, penyelidikan klinikal sukan serta kesihatan komuniti,” tambahnya.
UMS juga menyatakan keterbukaan untuk menjadi rakan strategik kepada Perbadanan Sukan Sarawak dalam menjayakan agenda pembangunan atlet dan kesejahteraan komuniti berasaskan sains dan teknologi.
Turut hadir, Timbalan Menteri Belia Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu serta Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak dan Pemangku Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak, Khairul Nizam Morshidi.