Masyarakat Luar Bandar Perlu Perhatian, Tingkat Kesedaran Ilmu Sains

 

Usaha memberi kesedaran mengenai kepentingan ilmu sains dalam kalangan masyarakat luar bandar perlu diberi perhatian lebih mendalam, kata Pakar Perunding Perubatan Keluarga, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr. Mohd Nazri Mohd Daud.

Beliau yang juga Ketua Jabatan Perubatan Keluarga di FPSK UMS memaklumkan, pendedahan awal terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bukan sahaja mampu membina keyakinan pelajar, malah berpotensi melahirkan lebih ramai pakar tempatan bagi membangunkan negeri Sabah pada masa hadapan.

“Komitmen itu dizahirkan menerusi kejayaan pasukan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunsanad II Keningau yang merangkul Anugerah Emas dalam pertandingan STEMQuest Ignite Zon Keningau anjuran UMS baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Untuk rekod, sekolah tersebut meraih anugerah menerusi dua pelajar Tingkatan 4, Tiara Valendra Rustum dan Arissa Delisha Alfian, yang menghasilkan inovasi Smart Solar Fan, dengan bimbingan guru STEM sekolah Ronald Deck Yami dan Jude James.

Sokongan turut diperkukuh oleh mentor daripada Persatuan Alumni SMK Gunsanad II Keningau (Alumni G2), Salbiah Jeffary @ Jeffry, yang membantu dalam aspek idea serta teknikal.

Dalam pada itu, Pensyarah Perubatan Pelatih Jabatan Perubatan Keluarga UMS merangkap Pengerusi Alumni G2, Dr. Muhd Shafeiq Muhammad Asri berkata, kejayaan itu membuktikan penglibatan akademik universiti bersama sekolah dan masyarakat mampu mencetuskan impak besar dalam memperkasa STEM di luar bandar.

“Kemenangan ini bukan sahaja menjadi pencapaian membanggakan, tetapi juga pembakar semangat kepada murid-murid luar bandar agar berani mencabar diri dan bergiat aktif dalam bidang STEM.

“Usaha ini juga selaras dengan Pelan Strategik UMS (2023-2027) yang menekankan penganjuran projek berimpak tinggi kepada sosioekonomi masyarakat,” ujarnya yang juga penyelia kepada peserta pasukan SMK Gunsanad II.