Graduan UMS Terus Jadi Duta Perpaduan, Perkukuh Hubungan Komuniti

 

Graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) perlu terus menjadi duta perpaduan dan jentera yang boleh mengeratkan hubungan antara komuniti dan sentiasa menghormati perbezaan demi kepentingan bersama.

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman yang juga merupakan Canselor UMS berkata, hal tersebut sangat penting dalam konteks Negeri Sabah yang terdiri dari pelbagai kaum, budaya, agama dan kepercayaan.

“Sebagai alumni UMS, diharapkan para graduan dapat menyumbang bakti, kepakaran demi kelangsungan pembangunan negeri dan negara amnya.

“Langkah ini menjadi bukti kecintaan kepada Universiti, di samping balasan budi baik dan sokongan serta inisiatif Kerajaan Negeri, yang telah membuka ruang penempatan, perkongsian penyelidikan dan pembangunan modal insan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pembukaan Majlis Konvokesyen UMS Kali Ke-27 Tahun 2025 di Dewan Canselor, UMS.

Musa menambah, sejumlah RM6.5 juta telah disumbangkan pada tahun 2024 kepada pihak UMS bagi menyokong projek-projek kajian serta penubuhan kerusi khas daripada Kerajaan Negeri.

“Jumlah sumbangan tersebut akan digunakan bagi memartabatkan kajian kebudayaan dan sains tempatan.

“Ini menunjukkan betapa kerajaan memberi keyakinan kepada keupayaan penyelidikan UMS, terhadap pembangunan mampan serta pengukuhan kualiti bidang pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

Majlis konvokesyen juga katanya bukan sekadar majlis penyerahan pelbagai ijazah kepada para graduan semata-mata, tetapi turut membawa makna yang sangat mendalam kepada para graduan yang berjaya menamatkan pengajian masing-masing.

“Para Graduan seharusnya merasa bangga kerana telah memperoleh ilmu daripada sebuah Menara Gading yang kegemilangannya semakin meningkat.

“Hasil usaha ini mampu membuahkan hasil yang baik dalam memperkukuh penyelidikan yang dapat menyumbang kepada Pembangunan Borneo dan Negara secara keseluruhannya,” ujar beliau.

Seramai 488 graduan UMS telah berjaya memperoleh skrol Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Doktor Kesihatan Awam, Ijazah Sarjana Penyelidikan, Ijazah Sarjana Kerja Kursus, dan Ijazah Sarjana Speciality Programme for Alcohol and Drug Abuse (SPADA) pada sidang pertama Majlis Konvokesyen UMS Ke-27.

Turut hadir pada majlis konvokesyen tersebut Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan dan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Haji Mansor.

 

(artikel disediakan oleh Suzainah Tan Thien Lu, Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan)