Perjalanan akademik pasangan kembar, Siow Xiu Jing dan Siow Xiu Yun, sekali lagi mencuri perhatian apabila mereka bakal diraikan bersama pada Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-27. Kisah mereka sebelum ini turut menjadi sorotan ketika kedua-duanya bergraduasi serentak pada Konvokesyen ke-24 pada tahun 2022.
Ketika itu, Siow Xiu Jing menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa (Kewangan Antarabangsa) dengan Kepujian, manakala adiknya, Siow Xiu Yun, bergraduasi dalam Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Ekonomi Kewangan) dengan Kepujian.
Selepas menyelesaikan pengajian peringkat sarjana muda, kedua-duanya meneruskan perjalanan akademik pada tahun berikutnya dengan mengikuti pengajian Sarjana secara Penyelidikan.
Sepanjang tempoh tersebut, mereka kekal aktif melalui penglibatan dalam Persatuan Pelajar Pascasiswazah dan Komuniti Pascasiswazah FBEA yang memperkukuh pengalaman serta jaringan akademik mereka.
Pada Konvokesyen ke-27, pasangan adik-beradik ini kembali diraikan apabila Siow Xiu Jing menamatkan pengajian Sarjana Perniagaan (Pemasaran), manakala Siow Xiu Yun menyempurnakan Sarjana Ekonomi (Ekonomi Kewangan). Kejayaan ini menjadi satu lagi penanda pencapaian penting sebelum mereka memasuki fasa baharu dalam dunia akademik.
Mulai September 2025, kedua-duanya telah melangkah lebih jauh dengan mendaftar dalam program Doktor Falsafah (PhD) di UMS. Siow Xiu Jing kini menyambung pengajian di peringkat PhD dalam Pengurusan Perniagaan (Pemasaran), manakala Siow Xiu Yun meneruskan pengajian PhD dalam bidang kepakarannya iaitu Ekonomi Kewangan.
Siow Xiu Jing berkongsi cabaran yang ditempuhi ketika menukar bidang sewaktu melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana.
“Memang ada cabaran sebab Ijazah Sarjana Muda saya dari International Finance, tapi Master saya dalam Marketing, jadi saya harus belajar dari peringkat awal.” ujarnya
“Terima kasih kepada ibu bapa yang menyokong saya dari kecil ke pengajian Master, dan kini PhD,” tambah beliau.
Bagi Xiu Yun pula, cabaran terbesar yang dilaluinya sepanjang pengajian sarjana ialah proses penerbitan artikel akademik.
“Saya punya cita-cita menjadi seorang pensyarah. Perancangan saya adalah untuk jadi seorang pensyarah setelah tamat PhD. Saya dan kakak sambung PhD kerana kami suka belajar,” ujarnya.
Kisah kedua-dua pelajar ini menjadi inspirasi kepada mahasiswa lain, memperlihatkan bahawa ketekunan, sokongan keluarga dan cinta terhadap ilmu mampu membuka jalan ke puncak kejayaan akademik.
(artikel disediakan oleh Safaruddin, Pelajar Program Kewartawanan Fakulti Dakwa dan Komunikasi, UIN Alauddin Makassar, Indonesia yang sedang menjalani latihan industri di UMS)


