Dari Zon Selesa Ke Pentas Konvokesyen, Kisah Inspirasi Penerima Anugerah Diraja

 

Keberanian meninggalkan zon selesa dan merantau jauh dari kampung halaman, Negeri Sembilan akhirnya membuahkan hasil buat Soo Jit Yee, 24, apabila beliau dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-27.

Graduan dari Fakulti Sains dan Teknologi itu berjaya mencapai Purata Nilai Gred Keseluruhan 3.97 dalam jurusan Bioteknologi.

Pada awalnya, beliau mengakui bahawa agak sukar untuk mempercayai berita gembira tersebut.

“Disebabkan saya hanya tahu berita ini melalui satu panggilan telefon dari UMS, saya seperti tidak percaya pada awalnya, risau jika ia satu penipuan.

“Tapi bila dimasukkan ke dalam kumpulan “WhatsApp”, barulah saya sedar memang benar yang saya dapat anugerah ini,” katanya sambil tersenyum.

Keputusan untuk berjauhan dari negeri kelahirannya untuk melanjutkan pelajaran bukanlah suatu perkara yang mudah.

Sejak mula melangkah ke alam kampus, beliau tidak mempunyai sebarang kenalan dan seringkali berhadapan dengan cabaran fasiliti dan pengangkutan.

“Saya datang memang keseorangan sahaja, jadi memang tiada kawan langsung dan perlu cari kawan baharu, tapi lama-kelamaan, semuanya berjalan dengan lancar juga,” tambahnya lagi.

Beliau menjelaskan bahawa sokongan dari rakan terdekat menjadi dorongan utama sepanjang tempoh pengajiannya.

“Apa yang mendorong saya dari kosong sehingga sekarang ialah kawan-kawan yang sentiasa ada dengan saya.”

Bagi beliau, disiplin menjadi keutamaan dalam usaha untuk mengimbangi tugasan akademik, tesis dan komitmen lain.

Beliau bercadang untuk memasuki alam pekerjaan terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan hasrat melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya di luar negara.

Kecekalan menempuh cabaran, keberanian keluar dari zon selesa dan sikap rendah hati dalam menuntut ilmu menjadikan kisah Soo Jit Yee bukti bahawa usaha dan disiplin membuahkan kejayaan.

 

(artikel disediakan oleh Rachel Annatasha Hilarius, Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan)