Berpengalaman selama 15 tahun berkhidmat dalam bidang pendidikan khas bahasa isyarat, Martina Suginsim menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana bagi Program Psikologi Kaunseling di Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial (FPKS) melalui Pusat Pendidikan Fleksibel UMS (UMSFLEC) pada Majlis Konvokesyen UMS kali ke-27.
Menurut Martina, yang berasal dari Kudat menyifatkan pencapaiannya itu sebagai detik yang bermakna selepas melalui tempoh pembelajaran sambil bekerja yang mencabar.
“Saya berasa amat sebak dan bersyukur setelah melalui perjalanan yang begitu panjang, saat ini bagaikan hadiah yang memujuk segala kepenatan dan air mata yang pernah tumpah,” katanya.
Sepanjang perkhidmatannya, Martina menyantuni murid-murid orang kurang upaya (OKU) pendengaran dengan penuh komitmen dan rasa bangga terhadap profesion tersebut.
Beliau berkata bahawa pengalaman itu membentuk kefahamannya terhadap Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) dan budaya Deaf yang mempunyai identiti linguistik tersendiri.
“Setiap gerak tangan dan ekspresi wajah mereka mempunyai makna yang mendalam. Ia bukan sekadar komunikasi, tetapi bahasa yang indah dan penuh nilai kemanusiaan,” jelasnya.
Pengalaman bersama komuniti ini turut memperkaya perspektif beliau tentang cara individu mengekspresikan diri serta berinteraksi dengan dunia sekeliling.
Mengimbau kembali perjalanan 15 tahun itu, Martina berkata detik paling menyentuh hatinya ialah ketika beliau menyedari bahawa walaupun perjalanan akademiknya mengambil masa yang panjang tetapu beliau tetap bergerak ke hadapan.
“Setiap kali saya hampir berputus asa, ada seseorang yang hadir menghulurkan semangat. Itu sangat bermakna bagi saya,” ujarnya.
Beliau turut berkongsi bahawa beberapa murid dan individu dalam komuniti OKU pendengaran memberi inspirasi besar kepadanya, terutamanya melihat mereka menjalani kehidupan dengan ketabahan walaupun dalam dunia tanpa suara.
Menurut Martina, cabaran terbesar sepanjang pengajian ialah pengorbanan masa untuk diri sendiri dan keluarga, selain tuntutan kerja yang memerlukan tenaga dan fokus yang tinggi.
“Ada hari-hari saya pulang dalam keadaan amat letih, tetapi tetap memaksa diri untuk belajar. Itu perjuangan yang hanya saya dan Tuhan sahaja yang tahu,” katanya.
Martina turut berharap agar komuniti OKU pendengaran diberikan ruang emosi yang lebih selamat dan akses sokongan psikologi yang lebih baik serta penerimaan masyarakat yang lebih inklusif terhadap cabaran mereka.
“Mereka berhak untuk dilihat, didengar dan dihargai. Sedikit empati daripada masyarakat boleh memberi perubahan besar kepada kehidupan mereka,” katanya.
Bagi Martina, kejayaan yang dikecapinya hari ini bukan sekadar memperoleh segulung ijazah sarjana, tetapi bukti ketabahan dalam mengharungi pelbagai cabaran.
“Ia menegaskan bahawa impian tidak pernah terlambat untuk dicapai, dan setiap kejatuhan memberi peluang untuk bangkit semula,” katanya.
(artikel disediakan oleh Nur Asdah Jeferedin, Pusat Pendidikan Fleksibel UMS)


