Pesta Krismas Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang memasuki edisi ke-11 penganjurannya menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan silaturahim serta semangat saling menghormati dalam kalangan warga kampus yang berbilang latar belakang.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, menerusi penganjuran pesta tersebut setiap tahun memberi peluang kepada warga universiti khususnya untuk bertemu, berinteraksi, dan membina hubungan yang lebih erat.
“Melalui aktiviti yang dianjurkan, jelas bahawa setiap individu memainkan peranan penting untuk memastikan program ini berjalan lancar dan memberi kesan yang positif kepada semua yang hadir.
“Rasa saling menghormati dan bekerjasama inilah yang menjadi asas kepada suasana kampus yang harmoni dan inklusif,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan sempena Pesta Krismas UMS Edisi Ke-11 di Dewan Kuliah Pusat 1, UMS baru-baru ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Dekan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa UMS, Prof. Madya Dr. Lai Yew Meng.
Menurutnya lagi, Pesta Krismas tidak hanya diraikan sebagai sebuah perayaan, tetapi juga memupuk semangat saling menghormati, bertoleransi, dan bekerjasama diantara satu sama lain.
“Walaupun kita datang dari latar belakang yang berbeza, kita dapat berkumpul dengan penuh kegembiraan dan keharmonian.
“Pengalaman ini mengingatkan kita bahawa suatu komuniti yang bersatu dapat mencapai banyak perkara positif, dan nilai ini dapat diteruskan dalam setiap interaksi harian kita.
“Saya berharap agar semua yang hadir dapat menikmati sambutan ini dengan sepenuhnya, serta membawa semangat positif dari acara ini ke dalam kehidupan seharian,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau ketika berucap merasmikan pesta tersebut berkata, penganjuran pesta yang dijayakan dalam kalangan pelajar UMS yang berbilang kaum jelas mencerminkan semangat kekeluargaan dan saling menghormati yang merupakan kekuatan rakyat Sabah.
“Dunia hari ini memerlukan generasi yang bukan sahaja cemerlang dari aspek intelek, tetapi juga kaya dengan nilai rohani dan kemanusiaan.
“Justeru, sambutan sebegini mengajak kita untuk merenung dengan mendalam tentang bagaimana kita harus sentiasa mengekalkan dan memperbaiki keharmonian kaum, khususnya dalam konteks tatakelola kerajaan.
“Masyarakat seharusnya sentiasa membawa kegembiraan, meningkatkan kesefahaman serta saling hormat menghormati antara satu sama lain,” ujar beliau.
Hadir sama pada majlis tersebut Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengurus Pusat, UNITAR Kota Kinabalu, Vanessa George; Pengerusi Pelaksana Pesta Krismas UMS, Prof. Madya Dr. Janice Nga Lay Hui; dan pengarah program, Chlorellina Anselm.


