300 Sertai Konvensyen Fiqh Perubatan Moden dan Perubatan Komplementari

Oleh: Sainah Mustakim

Foto: Malik Hanafi Achmad Rofi’ie, Pusat Islam UMS

SELASA, 6 OKTOBER – Lebih 300 peserta telah menyertai Konvensyen Fiqh Perubatan Moden dan Perubatan Komplementari Peringkat Negeri Sabah Tahun 2015 yang julung kalinya diadakan di Dewan Resital, UMS.

Konvensyen anjuran Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah, Cawangan Perubatan Tradisional dan Komplementari, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan Persatuan Kebajikan Islam Perubatan Sabah (PERKIPS) dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Kesihatan Pergigian Negeri Sabah, Dr. Misliah Ahmad, mewakili Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau menjelaskan konvensyen ini antara lain bertujuan untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai isu-isu fiqh perubatan moden, tradisional dan komplementari mengikut perspektif Islam.

“Konvensyen ini juga diharap mampu melahirkan anggota Jabatan Kesihatan yang berketerampilan dan mahir menangani masalah fiqh perubatan.

“Justeru, adalah menjadi harapan saya agar program ini juga dapat mewujudkan budaya kerja yang harmoni, toleransi dan penuh dedikasi dalam membentuk mutu perkhidmatan yang terbaik serta menggalakkan pembelajaran yang dinamik dan progresif” ujar beliau.

Antara panel penceramah dalam konvensyen tersebut adalah Timbalan Mufti Negeri Sabah, Ustaz Hamdani Omar, Timbalan Mufti Negeri Perak, Ustaz Hj. Zamri bin Hashim, Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi, Dr. Mohamed Hatta Mohamed Tarmizi, Penolong Pengarah Kanan JAKIM Sabah, Ustaz Norjeli Hj. Dais, Pensyarah UMS, Ustaz Sarip Adul, Pensyarah dan Pengamal Perubatan Darussyifa’, Ustaz Nik Anwar Zakaria dan Pengamal Perubatan Komplementari Naturopati S’Sakinah Kolistic Therapy Center, Alamesra, Prof. Madya Dr. Mohd. Rosni Sulaiman.

Turut hadir pada majlis itu Pengarah Pusat Islam, Dr. Muhammad Suhaimi Taat, Pengarah Hospital Queen 2, Dr. Haji Razak Tambi dan Pemangku Pengerusi PERKIPSL, Sairul Naming.