UMS Bakal Ungguli Kedaulatan Makanan Negara

Oleh Che Hasruddin Che Hasan

SELASA, 12 JANUARI - Kedaulatan makanan (food security) sebagaimana dicetuskan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pada September 2015 merujuk kepada keupayaan negara menghasilkan makanan sendiri dan mengurangkan kebergantungan bekalan makanan import yang menjadi dasar strategik penting buat Malaysia.

Menerusi cetusan ini, Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal mengungguli kedaulatan makanan dengan kerjasama kerajaan negeri Sabah dan pihak industri bagi meneruskan usaha memperkasakan bidang pertanian demi manfaat masyarakat setempat dan negara amnya.

Usaha ini menjadi inti perbincangan pada pertemuan antara Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman di pejabatnya baru-baru ini.

Menurut Datuk Harun, UMS akan memfokuskan kepada kedaulatan makanan, ecofarm dan pembangunan industri pertanian melalui latihan keusahawanan dan komuniti.

“Usaha yang dijalankan UMS ini mendapat sokongan Ketua Menteri kerana ia berkonsepkan kerjasama akademia-industri,” katanya.

Pada pertemuan tersebut, Datuk Harun turut memaklumkan bahawa UMS telah mengenal pasti beberapa kawasan tanah pertanian untuk mencapai hasrat berkenaan.

Ujar beliau, bidang pertanian akan menjadi salah satu bidang tujahan yang akan diperkasakan di peringkat UMS.

“Pemerkasaan bidang pertanian akan menggalakkan lebih ramai anak muda tempatan menceburi bidang pertanian sebagai usahawan tani yang bukan sahaja dapat memberikan pendapatan lumayan tetapi dapat menyediakan peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada masyarakat.”

“Semoga melalui usaha ini mampu memangkin negara kita ke arah menghasilkan sumber-sumber makanan yang mencukupi dan seterusnya dapat dieksport ke luar negara dalam meningkatkan pendapatan negara,” tambahnya lagi.

Datuk Harun turut tertarik dengan konsep ‘Zero Discharge’ yang diaplikasikan di ladang tenusu milik usahawan berjaya, Datuk Yap Yun Fook di Keningau ketika membuat lawatan rasmi ke tanah milik UMS di Apin-apin, Keningau.

“Insya-Allah, UMS akan terus mempertingkatkan kerjasama dengan Datuk Yap yang selama ini telah terjalin untuk merealisasikan konsep ecofarm di Fakulti Pertanian Lestari UMS di Sandakan sekali gus menggiatkan kerjasama antara pihak industri dan universiti,” ujarnya.

Untuk rekod, pada pembentangan Bajet 2016, kerajaan Malaysia telah memperuntukkan sebanyak RM5.3 bilion bagi menyediakan pelbagai bantuan dan insentif ke arah memperkasakan pertanian kerana bidang ini menyumbang 8.6% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

 

 

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.