Bercakap ketika menyampaikan amanat 2016 di Dewan Canselor UMS hari ini, Profesor Datuk Dr. Harun menegaskan bahawa budaya rasuah perlu dijauhi dan dipupuskan dalam kalangan warga universiti.
“Jika kita terjebak dengan rasuah, tinggi mana jawatan kita sekalipun, kita akan memusnahkan imej universiti yang kita sayangi ini,” katanya.
Tambah beliau, meskipun bekerja sebagai penjawat awam dan makan gaji tidak akan menjadikan seseorang itu hidup mewah, tetapi maruah, harga diri dan prinsip perlu ditegakkan atas dasar pegangan agama.
“Janganlah gelapkan mata anda dengan wang ringgit sahaja, janganlah juga hanya mengejar kekayaan semata-mata, apa yang penting keikhlasan kita bekerja dengan penuh integriti akan mendatangkan kekayaan yang kekal.
“Hanya dengan keikhlasan anda semua kita dapat bersatu, menetapkan fikiran yang satu, bagi menyempurnakan matlamat universiti ini agar senantiasa melangkah dan melangkah maju ke hadapan,” ujarnya.
Seramai 3,000 warga kampus yang terdiri daripada kakitangan dan pelajar menghadiri majlis tersebut dengan tema ‘UMS Bersatu Melangkah Maju’. -ZMD
Foto: Suzeanywati Gasinin