Bertemakan “Rasuah Disebalik Tabir”, panel forum jemputan terdiri daripada wakil Pusat Islam UMS, Ustaz Jimmis Jumat; Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Mohd Taufik Nordin; dan Pengerusi Sekretariat Permuafakatan Siswa Siswi Felda (PERSADA), Datu Rosman Datu Akhir Zaman.
Forum tersebut antara lain membincangkan tentang isu gejala rasuah dan pengertiannya dalam perspektif agama, serta pandangan mengenai kaedah mewujudkan kesedaran tentang bahaya rasuah dalam kalangan mahasiswa.
Dalam pada itu, Mohd Taufik menegaskan para mahasiswa perlu sedar sebagai mahasiswa yang berintelektual, jenayah rasuah yang kian menular harus dihindari bersama-sama.
“Siswa-siswi khususnya, dan masyarakat awam perlu mengikut segala peraturan dan sebarang garis panduan yang ditetapkan agar kita dapat pastikan rasuah tidak wujud sama ada dalam kalangan pelajar, badan kerajaan mahupun di pihak swasta,” ujarnya.
Lebih 190 pelajar UMS terdiri daripada ahli-ahli unit badan beruniform, MPP dan Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa Kolej kediaman (JAKMAS) hadir pada forum tersebut.
Sumber: Jabatan Hal Ehwal Pelajar
ISN