UMS Sokong Pendigitalan Ekonomi

RABU, 7 Disember - Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyokong pendigitalan ekonomi negara melalui universiti.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah berkata berikutan era pendigitalan, pihak UMS juga menggunakan kandungan digital dalam sistem pembelajaran dengan melaksanakan pembelajaran yang bersesuaian dengan diketuai Unit e-Pembelajaran.

“Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Keusahawan (ERDEC) turut bekerjasama dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk menjalankan program melatih graduan membangunkan aplikasi yang mana mereka diajar untuk menjadi usahawan,” katanya ketika berucap merasmikan makan malam Jalinan Ikon UMS pada Isnin.

Datuk Harun berkata, UMS telah dilantik sebagai Hab Pencipta Digital Wilayah oleh Malaysia Digital Economy Corp Sdn. Bhd. (MDEC) yang mana UMS memainkan peranan dalam mengembangkan pembelajaran digital masyarakat melalui topik-topik termasuk pengaturcaraan, ruang pembuatan dan kemasyarakatan.

“Dalam perkara ini, UMS mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk menyertai pihak universiti untuk mengembangkan lagi Hab Pembuatan Digital,” katanya.

Ujar beliau, UMS melalui Pusat Jaringan Industri dan Komuniti (CICN) mempunyai tiga peranan utama menghubungkan universiti dengan industri melalui penyelidikan dan penempatan latihan industri.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMS, Prof Dr. D Kamarudin D Mudin; Pendaftar, No’man Datuk Haji Ahmad dan  Pengarah CICN UMS, Prof. Dr. How Siew Eng.