Program Mobiliti Eratkan Hubungan UMS - UUM - UNPAS

SELASA, 10 JANUARI - Seramai 19 pelajar daripada Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universitas Pasundan Bandung Indonesia (UNPAS) menamatkan Program Mobiliti Berkredit semester 1 sesi 2016/2017, baru-baru ini.

Menurut Dekan FPP, Profesor Madya Dr. Mohd Dahlan A. Malek, program mobiliti yang disertai oleh pelajar-pelajar berkenaan merupakan peluang untuk mereka mempelajari budaya yang terdapat di ketiga-tiga universiti tersebut.

“Saya percaya pelajar-pelajar dari UUM dan UNPAS secara tidak langsung dapat mempelajari budaya dan bahasa orang Sabah apabila mereka berada di UMS ini.

“Begitu juga dengan pelajar UMS yang berpeluang belajar di UUM, pasti mereka berasa seronok berada di sana,” katanya ketika merasmikan majlis penutupan program itu di Bilik Seminar FPP.

Beliau berkata, program itu juga merupakan satu titik ukur sekiranya mereka ingin melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) sama ada di UMS, UUM atau UNPAS.

“Menerusi program mobiliti ini, para pelajar juga dapat mengasah dan memantapkan kemahiran insaniah sebagai persediaan menempuh alam pekerjaan kelak,” tambah Dr. Mohd Dahlan.

Sementara itu, pelajar UUM, Che Zulfikar Che Pa berkata, pengalaman berlajar di UMS memberi kenangan indah buat beliau dan rakan-rakan.

“Satu semester di sini banyak suka dan duka yang kami lalui, tapi itu semua akan menjadi bekalan buat kami untuk lebih berdedikasi. Sikap warga UMS yang suka membantu tidak kira dalam pengajian formal atau tidak, pasti akan kami rindui.

“Kami amat gembira dan bersyukur kerana UMS memberi kami peluang mengikuti program komuniti dan dapat bergaul dengan masyarakat di luar bandar. Ia satu pengalaman yang tidak akan kami lupakan,” jelasnya yang turut teruja dengan idea EcoCampus dan kampus hijau di UMS.

Bagi Firman Arif Maulana dari UNPAS, beliau menyifatkan pengalaman berkuliah di UMS sebagai satu memori terindah.

“Kami berterima kasih dengan warga UMS yang sudi menerima kami. Rasanya seperti tidak cukup dan masih mahu berada di UMS. Pasti kami akan rindu teman-teman dan para pensyarah UMS,” katanya.

Pada majlis itu, Dr. Mohd Dahlan turut menyampaikan sijil tamat program kepada pelajar dari kedua-dua universiti berkenaan.

Turut hadir, Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa FPP UMS, Dr. Roslee Talib dan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar FPP, Dr. Getrude Cosmas.

Foto: Suzeanywati Gasinin

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.