FPP Jayakan Program Komuniti Pendidikan Sains Dan Teknologi Di SMK Agama Tun Said, Kota Belud

KHAMIS, 27 APRIL - Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menjayakan Program Komuniti Pendidikan Sains dan Teknologi di SMK Agama Tun Said, Kota Belud baru-baru ini.

Program yang dijalankan selama sehari itu disertai seramai 50 pelajar tingkatan empat dari sekolah tersebut, dan dikelola oleh 14 pelajar Program Sarjana Pendidikan Sains dan 11 pelajar Program Sarjana Muda Pendidikan Matematik dan Fizik, FPP.

Pensyarah FPP, Dr. Siew Nyet Moi @ Sopiah Abdullah berkata, antara objektif program adalah untuk meningkatkan kemahiran penyelesaian masalah, kreativiti dan daya inovasi pelajar-pelajar luar bandar melalui aktiviti reka cipta berasaskan konsep STEM (Science, Technology, Engineering and Mathematics).

“Aktiviti STEM pertama mengetengahkan situasi yang dihadapi oleh golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), di mana pelajar-pelajar melakukan perbincangan dan mencipta model peralatan yang boleh membantu golongan OKU menyelesaikan masalah dalam kehidupan seharian.

“Bagi aktiviti kedua pula, setiap kumpulan telah dikehendaki untuk membincangkan dan mencipta model alat yang boleh menyelesaikan masalah yang mungkin dihadapi oleh atlet sukan dari aspek keselamatan dan kemahiran,” katanya.

Menurut beliau, sepanjang program dijalankan, para pelajar kelihatan bersungguh-sungguh untuk membina model ciptaan masing-masing, yang menyaksikan mereka mampu menyenaraikan pelbagai cadangan penyelesaian terhadap masalah yang diwujudkan oleh situasi dalam aktiviti.

“Pelajar juga didapati mampu melakar draf rekaan secara terperinci dengan menggambarkan pilihan bahan, teknik pemasangan serta menjelaskan fungsi bahagian-bahagian rekaan mereka.

“Melalui penglibatan diri dalam aktiviti seumpama ini, mereka lebih memahami konsep sains dan mengaplikasikannya dalam rekaan sekali gus meningkatkan daya kreativiti dan mengembangkan lagi daya imaginasi mereka,” kata Dr. Siew.

Ujar beliau,  melalui program ini, adalah diharapkan agar para pelajar dapat menanamkan semangat untuk berfikir secara lebih kreatif dan inovatif serta lebih berinisiatif dalam menyelesaikan masalah.

Program tersebut diakhiri dengan penyampaian cenderamata yang disampaikan kepada wakil dari SMK Agama Tun Said, Nik Zuraida Nik Mohd Noor.

 

Sumber: Dr. Siew Nyet Moi @ Sopiah Abdullah, FPP