Siswa Diingat Tingkat Keupayaan Dan Potensi Diri

KHAMIS, 24 MEI – Siswa-siswi Universiti Malaysia Sabah (UMS) diingatkan agar meningkatkan dan menggunakan keupayaan, potensi dan bakat diri untuk membawa kecemerlangan negara.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah berkata, negara amat memerlukan graduan universiti yang holistik dan seimbang kerana tanggungjawab mengurus pembangunan negara diwariskan kepada anak-anak muda kelak. 

“Teguh dan rapuhnya sistem masyarakat dan industri keseluruhannya akan banyak dipengaruhi golongan belia yang diharapkan dapat membimbing dan memimpin keluarga, masyarakat, industri dan generasi akan datang.

“Justeru, anda sewajarnya mempunyai kemahiran yang tinggi untuk menyelesaikan masalah diri dan organisasi, berperwatakan dan berperibadi mulia, mengutamakan penggunaan daya intelek, tinggi daya fikir, bersikap ilmiah serta berupaya menghadapi apa jua situasi dan rintangan,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Malam Penghargaan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (MAHEPA) ke-19 di Klagan Hotel, 1Borneo, yang dirasmikan oleh Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Dr. Johnson Tee.

Teks Ucapan Datuk Harun dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Prof. Madya Dr. Ismail Ali.

Tambah Datuk Harun, beliau yakin Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni  akan bertindak lebih aktif untuk meneruskan program-program yang berbentuk kesukarelawan dan kemasyarakatan komuniti setempat bagi memberikan pendedahan menyeluruh dalam membentuk keperibadian para pelajar.

“Diharap penganjuran MAHEPA ini juga berupaya memberi suntikan dan semangat kepada pelajar untuk terus berusaha dengan lebih gigih bagi meningkatkan lagi sumbangan dan pencapaian di peringkat antarabangsa, kebangsaan dan universiti,” ujar beliau. 

Sementara itu, Datuk Johnson Tee dalam ucapan perasmiannya turut mengingatkan siswa-siswi agar terus meneroka ilmu seluas-luasnya kerana proses menimba ilmu tidak ada penghujungnya. 

“Peringkat universiti hanyalah suatu peringkat pengajian ilmu yang mengiktiraf ketinggian pencapaian ilmu individu yang mengkhusus kepada bidang pengajian yang diceburi sahaja. 

“Pada peringkat universiti, anda seharusnya sudah mampu menjadi orang dewasa yang matang sikapnya dan kritis minda serta tinggi akhlak budi,” katanya. 

Asas kepimpinan pelajar juga katanya perlu disemai dengan menekankan kejayaan dan jati diri pelajar dalam persatuan. 

Pada majlis itu, 17 anugerah dipertandingkan, melibatkan sembilan anugerah bagi kategori berkumpulan, dan lapan anugerah bagi kategori individu. 

Hadir sama pada majlis tersebut Ahli Lembaga Pengarah UMS, Datuk Pengiran Hj. Mohd. Hussein Datuk Pengiran Hj. Mohd. Tahir Nasruddin dan Datin Hajah Nurlaila Said, serta Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS, Ahmadi Nurdin.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.