Pelajar FKJ Kongsi Kerjaya Jurutera Bersama Warga SMK Taman Tun Fuad

JUMAAT, 2 JUN - Kelab ‘Institution of Engineers Malaysia – Young Engineer Section’ (IEM-YES), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menjayakan program “Highschool Engineering Outreach By IEM-YES’ bersama warga SMK Taman Tun Fuad, Kota Kinabalu baru-baru ini.

Program tersebut yang melibatkan 25 orang pelajar dari program Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Kejuruteraan UMS antara lain bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar sekolah menengah mengenai skop kejuruteraan dan langkah-langkah awal untuk menjadi seorang jurutera.

Antara aktiviti yang dijalankan adalah sesi perkongsian ilmu mengenai peluang kerjaya jurutera di Malaysia, yang disampaikan oleh pensyarah FKJ yang juga merupakan selaku penasihat Kelab IEM-YES,  Prof. Madya Dr. Rachel Fran Mansa , serta pertandingan reka cipta kapal terbang kertas.

Menurut Dr. Rachel, pertandingan reka cipta kapal terbang kertas diadakan bagi mengasah sifat kepimpinan dan kemahiran komunikasi berkesan dalam kalangan peserta melalui aktiviti berkumpulan.

“Bidang kejuruteraan merupakan salah satu aplikasi sains dalam kehidupan seharian dan kejayaan pelajar mereka cipta kapal terbang kertas dalam tempoh masa yang singkat menunjukkan bahawa mereka mempunyai daya kreativiti dan berfikiran kritis sejajar dengan kerjaya jurutera yang perlu bersifat fleksibel dan efektif menangani masalah sepanjang masa”, ujar Dr. Rachel

Lebih 50 pelajar SMK Taman Tun Fuad yang terdiri daripada pelajar Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima terlibat dalam program sehari tersebut.