Sambutan KreaNova Perlu Disertai JFPIU: Prof. Dr. Shahril

JUMAAT, 06 OKTOBER - Sambutan bulan Kreatif dan Inovatif (KreaNova) perlu diwajibkan kepada  penyertaan daripada  semua Jabatan, Fakulti, Pusat, Institut dan Unit (JFPIU) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof berkata, penganjurannya itu sangat baik kerana ia mampu menyuburkan budaya kreatif dan inovatif dalam kalangan warga UMS.

“Justeru, setiap JFPIU seharusnya terlibat secara langsung dalam setiap aktiviti yang dijalankan sepanjang sambutan bulan KreaNova ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Dr. D Kamarudin D Mudin  bagi merasmikan sambutan itu yang berlangsung sehingga 31 Oktober 2017.

Prof. Dr. Shahril turut mencadangkan agar setiap JFPIU juga tampil dengan kreativiti serta inovasi dalam memberi perkhidmatan kepada pelanggan masing-masing.

“Sebagai contoh di Jabatan Bendahari mungkin boleh mewujudkan sistem pembayaran yuran dalam bentuk perisian yang boleh dimuat turun dari android untuk memudahkan para mahasiswa.

“Bahagian Perkhidmatan Akademik juga mungkin boleh membuat QR Code bagi tujuan kuliah yang berkesan yang mana apabila para pelajar membuat imbasan terhadap QR Code tersebut, segala nota kuliah secara automatik akan dimuat turun ke telefon pintar mereka,” katanya sambil merujuk kepada usaha transformasi menuju Universiti Industri  4.0.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Bahagian Sumber Manusia, Mohd. Raffie Haji Janau mewakili Pendaftar UMS, No’man Datuk Haji Ahmad.

Untuk rekod, sambutan bulan KreaNova antara lain bertujuan meningkatkan kesedaran, kefahaman dan membudayakan amalan kreatif dan inovatif dari segi pemikiran dan tindakan dalam kalangan warga UMS, di samping menerapkan pengurusan inovatif di setiap jabatan di UMS.

Ia juga bagi memupuk amalan pengurusan inovatif di setiap JFPIU selaras dengan visi universiti iaitu ‘Menjadi Sebuah Universiti Berinovatif Bertaraf Dunia’.  

 

Foto: Nasrul Rukkung

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.