Penglibatan Komuniti Penting Dalam Usaha Konservasi Alam Sekitar Di Sabah

KHAMIS, 9 NOVEMBER - Sabah memiliki kepelbagaian flora dan fauna yang perlu dipelihara dan dilindungi bagi memastikan ianya tidak pupus dan dapat diwariskan kepada generasi akan datang

Saintis kanan merangkap Penasihat Budaya Pemeliharaan Alam Semula jadi Hawaii, Dr. Sam ‘Ohu Gon berkata, usaha konservasi perlu diterapkan dalam komuniti masyarakat termasuk keperluan untuk menggubal undang-undang berkaitan agar lebih bermanfaat kepada kepelbagaian biologi di Sabah.

“Sabah merupakan salah satu lokasi dengan kepelbagaian biologi dunia yang sangat berbeza dan lebih cantik daripada apa yang boleh dilihat di media sosial seperti YouTube.

“Justeru, penting untuk masyarakat di sini diberi pengetahuan tentang sumber kekayaan alam semula jadi yang mereka miliki agar mereka turut bersama dalam usaha konservasi yang dilaksanakan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada media selepas menyampaikan ceramah bertajuk Pemeliharaan Alam Sekitar, Mengimbangi Pembangunan Ekonomi dan Pemuliharaan Alam Sekitar Melalui Pendekatan Berdasarkan Komuniti di Auditorium Perpustakaan, Universiti Malaysia Sabah.

Sementara itu, Ketua Pustakawan UMS, Dg Rukiah Ag Amit menyifatkan program tersebut bertepatan untuk memberi kesedaran dalam pelbagai usaha konservasi di Sabah.

“Ini adalah supaya kita sentiasa bersedia dan terdedah kepada cara-cara melindungi alam sekitar,” katanya.

Siri ceramah tersebut merupakan salah satu program bulanan di bawah kerjasama Perpustakaan UMS dan American Corner melalui perjanjian persefahaman yang ditandatangani antara UMS dan Pejabat Kedutaan Amerika Syarikat pada 23 September tahun lalu.

 

 

 

 

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.