MAP 2017 Iktiraf Graduan Cemerlang Pascasiswazah UMS

JUMAAT, 24 NOVEMBER – Majlis Anugerah Pascasiswazah (MAP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) 2017 yang berlangsung di Klagan Hotel baru-baru ini menjadi wadah dalam mengiktiraf beberapa graduan sarjana dan doktor falsafah yang berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, MAP 2017 juga diadakan bertujuan untuk menghargai para penyelia graduan pascasiswazah yang telah menunjukkan komitmen dan pencapaian yang tinggi dalam penyeliaan mereka sehingga berjaya melahirkan graduan pascasiswazah pada Majlis Konvokesyen UMS Ke-19.

“Sesungguhnya, dalam kembara pengajian pascasiswazah, peranan penyelia sangat signifikan dalam membantu anak didik mengharungi segala cabaran, halangan dan kekangan dengan jayanya.

“Pengajian pascasiswazah bukan semata-mata suatu peringkat pengajian yang mampu mempertingkatkan taraf atau status ketokohan pendidikan seseorang, malah ianya juga adalah suatu pengalaman yang sangat berguna dan boleh memberi sumbangan tidak ternilai kepada kehidupan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan yang disampaikan Pengarah UMS Kampus Antarabangsa Labuan, Prof. Madya Dr. Murnizam Halik.

Katanya, penganjuran MAP 2017 juga adalah bagi mengangkat kepentingan pengajian pascasiswazah sebagai salah satu daripada mekanisme membangun masyarakat mencakupi segala aspek sosial, ekonomi dan politik.

“Dengan kata lain, kita mahu menghasilkan seramai mungkin bilangan pascasiswazah dengan memastikan bahawa hasil pengajian itu mempunyai nilai yang boleh dikomersialkan, atau sekurang-kurangnya menimbulkan kesedaran untuk menikmati hidup dengan lebih sempurna,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut, Dr. Murnizam menyampaikan Anugerah Pelajar Terbaik Sarjana (Secara Kerja Kursus), Anugerah Tesis Terbaik (Sarjana), Anugerah Tesis Terbaik (PhD), Anugerah Penyelia Terbaik, Anugerah Pelajar Cemerlang (Secara Penyelidikan) dan Anugerah Pelajar Cemerlang (Secara Kerja Kursus), selain Anugerah Aspirasi Pascasiswazah yang disampaikan Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) Pusat Pengajian Pascasiswazah, Prof. Madya Dr. Fauziah Sulaiman.

Turut hadir pada majlis tersebut Pemangku Dekan, Prof. Dr. Hjh Arsiah Hj Bahron dan Timbalan Dekan (Kebajikan Pelajar) Pusat Pengajian Pascasiswazah, Dr. Jakaria Dasan.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.