MERT-UMS Sumbang Bakti di Borneo Safari 2017

JUMAAT, 24 NOVEMBER - Buat kali keempat, Medical Emergency Response Team, Universiti Malaysia Sabah (MERT-UMS) di bawah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) dengan kerjasama Kelab Sukarelawan Pacuan Empat Roda UMS (UMS 4WDVC) telah dijemput oleh Sabah Four Wheel Drive Association (SFWDA) untuk terlibat sama dalam Borneo Safari International Off-road Challenge 2017 bertempat di daerah Papar, Sabah baru-baru ini.

Sejumlah 10 buah kenderaan pacuan empat roda dari UMS 4WDVC yang diketuai oleh Presiden Kelab, Prof. Dr. Shahril Yusof telah membawa pasukan MERT-UMS yang terdiri dari tiga doktor pakar, lima jururawat dan masing-masing seorang pensyarah kejururawatan dan penolong pegawai perubatan.

MERT-UMS turut membawa bekalan ubat-ubatan dan peralatan perubatan yang mencukupi untuk mengharungi cabaran perjalanan offroad yang mencabar selama seminggu.

Menurut Pengerusi MERT-UMS, Prof. Madya Dr. Khin Maung Ohn @ Ariff, salah satu aktiviti yang dijalankan ialah tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan mengadakan pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada penduduk Kg. Ovai, Papar.

“Seramai 55 penduduk kampung telah menjalani pemeriksaan kesihatan dan mendapatkan ubat-ubatan secara percuma dari MERT-UMS di tapak perkhemahan utama Borneo Safari 2017.

“Selain itu, MERT-UMS turut menyediakan perkhidmatan perubatan kepada semua peserta pertandingan yang diadakan sebanyak 18 SS (Special Stage) serta terhadap  semua peserta Borneo Safari yang terdiri daripada peserta tempatan dan peserta antarabangsa daripada negara-negara seperti Brunei, Indonesia, Thailand dan China,” jelas Dr. Ariff.

Tambah beliau lagi, sepanjang ekspedisi ini dilangsungkan dari 29 Oktober – 5 November 2017, tidak berlaku sebarang kecelakaan parah dan beberapa peserta hanya mengalami luka-luka ringan akibat melecur, disengat serangga dan kecederaan ringan yang lain.

Di samping itu, SFWDA dan UMS 4WDVC turut menyumbang beras kepada penduduk kampung yang hadir semasa pemeriksaan kesihatan dijalankan.

Menurut Ketua Konvoi MERT-UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof, program yang mempunyai elemen CSR ini akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai sebahagian daripada sumbangan UMS kepada masyarakat pedalaman Sabah.

“Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada Presiden SFWDA, Hj. Faez Datuk Nordin kerana sudi menjemput UMS untuk terlibat sama mengikuti Borneo Safari,” katanya yang juga Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UMS.

Dalam pada itu, seorang penduduk Kg. Ovai yang ditemui iaitu Umai Sr. dipetik sebagai berkata, penduduk kampung sangat berbangga dan berterima kasih atas kesudian pihak UMS memberikan perkhidmatan perubatan dan kesihatan secara percuma dan berharap agar aktiviti seperti ini akan dilakukan lagi pada masa yang akan datang.

Turut hadir pada hari pertama ekspedisi bagi memberikan sokongan moral kepada MERT-UMS ialah Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin dan Dekan FPSK, Prof. Dr. Zainal Ariffin Mustaffa.

 

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.