MoA UMS-Hafiz Farm Teroka Penyelidikan Penghasilan Makanan Haiwan Ternakan

RABU, 29 NOVEMBER – Memorandum Perjanjian (MoA) antara Universiti Malaysia Sabah dan Hafiz Farm Sdn Bhd, sebuah syarikat tempatan berasaskan pertanian dan penternakan yang ditandatangani kelmarin memfokuskan penerokaan terhadap penyelidikan rumput napier termasuk Napier Pakchong untuk penghasilan makanan haiwan ternakan.

Bertempat di Bilik Tayangan dan Taklimat Muzium UMS, perjanjian tersebut ditandatangani Naib Canselor UMS Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin, dan disaksikan oleh Pendaftar UMS, No’man Datuk Haji Ahmad, manakala Hafiz Farm diwakili Pengarah Eksekutifnya,  Haji Yussup Nannong sambil disaksikan Pengurus Besarnya, Mahadir Sultan.

Menerusi MoA itu, kedua-dua pihak bakal menjalin usaha sama penyelidikan dan pemuliharaan rumput Napier Pakchong dan kepelbagaiannya di bawah Fakulti Pertanian Lestari, UMS Kampus Sandakan.

Tempoh kerjasama selama dua tahun itu juga bertujuan membangunkan teknologi pengeluaran Napier Pakchong dan jenis rumput napier lain bagi penghasilan ruminan yang menguntungkan selain berkongsi hasil penyelidikan antara universiti dan industri terlibat.

Dalam pada itu, pensyarah kanan FPL, Dr. Januarius Gobilik ketika ditemui media berkata, penyelidikan dan pemuliharaan rumput napier itu akan dijalankan di fakulti berkenaan dengan melibatkan kira-kira 11 hektar kawasan penanaman masing-masing di Sandakan, Telupid dan Keningau.

Beliau yang merupakan ketua bagi projek penyelidikan berkenaan berkata, keluasan kawasan penanaman itu dijangka mampu menghasilkan kira-kira 400 tan rumput napier setahun.

“Projek ini juga sekali gus mampu menampung isu kekurangan makanan ternakan negara pada ketika ini.

“Selain memfokuskan penghasilan makanan ternakan dengan kuantiti yang banyak, projek ini juga menyasarkan untuk menghasilkan makanan ternakan yang berkualiti serta murah,” ujar beliau.

Turut hadir pada majlis tersebut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof; Pengarah Pusat Pengurusan Strategik dan Komunikasi Korporat, Prof. Dr. Marcus Jopony; dan Dekan FPL, Prof. Madya Dr. Saafie Salleh.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.