UMS Komited Bantu Pembangunan dan Penyelidikan Ekonomi di Sabah

KHAMIS, 30 NOVEMBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bersama Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) dan Institut Kajian Pembangunan (IDS), kelmarin.

MoU tersebut merupakan salah satu langkah untuk memajukan usaha kerjasama antara UMS dengan dua organisasi yang bertanggungjawab dalam program pembangunan dan penyelidikan ekonomi di Sabah.

Melalui MoU itu UMS, SEDIA dan IDS akan terlibat dalam kerjasama penyelidikan, penerbitan dan lain-lain aktiviti akademik termasuk penganjuran persidangan, seminar dan bengkel.

Majlis menandatangani MoU itu diadakan sempena penganjuran Persidangan Antarabangsa Ekonomi 2017 (ICE 2017) yang julung kali diadakan oleh Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) UMS.

UMS diwakili oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof. Dr. Shahril Yusof, manakala SEDIA diwakili Ketua Eksekutif Datuk Dr. Mohd Yaakub Hj. Johari, sementara IDS diwakili Pengarah Eksekutif Datuk Hasnol Datuk Ayub.

Terdahulu ketika berucap merasmikan persidangan itu, Prof. Dr. Shahril berkata, UMS merupakan tempat yang sesuai untuk membincangkan isu ekonomi serantau memandangkan lokasi Sabah berada sangat hampir di tengah rantau Asia.

“Kehadiran industri 4.0 telah mengubah dan mempengaruhi proses jual beli serta konteks ekonomi di rantau ini.

“Dalam industri 4.0, pendekatan yang diguna pakai dalam ekonomi serta jual beli tidak lagi dijalankan secara tunai, justeru penggunaan konsep ekonomi hijau harus diperluaskan,” tambahnya.

Dengan tema Integrasi Ekonomi dan Kelestarian Global, persidangan tersebut membentangkan 77  kertas kerja dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan antarabangsa dan ekonomi kesihatan.

Menariknya pada penganjuran kali ini, beberapa kertas kerja dalam bahasa Mandarin turut disampaikan para peserta dari Taiwan, selain ucaptama ICE 2017 oleh Profesor Adjung Datuk Supperamaniam Manickam.

Hadir sama, Pemangku Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Rasid Mail; Pendaftar UMS, Noman Hj. Ahmad dan Dekan FPEP, Prof. Madya Dr. Raman Noordin.

 

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.