UMS, DBKK Kempen Minda Hijau Generasi Muda

JUMAAT, 15 DISEMBER – Penganjuran Program ‘No Trash In Stash (NTrIS) 2017’ oleh Pusat Pengurusan Ecocampus Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) serta Kelab Surirumah dan Staf Wanita UMS (KESUMBA) mampu mewujudkan kesedaran dan minat warga UMS, khasnya para mahasiswa/i UMS dan orang awam dalam melaksanakan aktiviti kitar semula bahan terpakai (upcycling) untuk menjadi produk yang bernilai. 

Pengarah Pusat Pengurusan EcoCampus UMS, Prof. Madya Dr. How Siew Eng berkata, aktiviti upcycling menjadi semakin popular kepada mereka yang terlibat dalam aktiviti kitar semula sisa dan bahan terpakai. 

“Upcycling melibatkan proses penggunaan semula bahan-bahan buangan untuk menjadi sebuah bahan atau produk yang boleh digunakan semula dan mempunyai nilai pendapatan.

“Ini memberi satu motivasi kepada orang awam untuk terlibat dalam aktiviti sebegini kerana ia memberi peluang dalam menjana pendapatan tambahan, selain mudah dilaksanakan oleh semua golongan umur,” katanya ketika berucap merasmikan program tersebut di Cafe D’Sireh, Bangunan Canselori UMS. 

Program itu juga katanya menghimpunkan pelbagai individu yang berkemahiran dan berpengalaman dalam aktiviti upcycling bagi berkongsi pengetahuan, idea dan kemahiran kepada warga UMS, khususnya kepada golongan mahasiswa dan kakitangan.
“Perkongsian sebegini mampu mendorong kepada perubahan positif terhadap nilai moral, sikap dan pemikiran para peserta untuk mendukung aspirasi EcoCampus UMS dan kelestarian, sekali gus menjayakan kempen kawasan bebas sampah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK),” ujar beliau. 

Program sehari itu melibatkan pelbagai sesi ceramah, bengkel dan pameran produk yang disertai agensi kerajaan seperti DBKK dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), dan badan bukan kerajaan (NGO) antaranya Taiwan Buddhist Tzu Chi Foundation Malaysia, JF Production KK, Life Water Industries, Arkitek Tressie Yap, Young Leaders for Sustainability (YL4S), dan Malaysia Zero Pollution Society.

Turut hadir adalah Ketua Bahagian Pendidikan Awam dan Pentadbiran Jabatan merangkap wakil DBKK, Puan Lizawana Matin, Timbalan YDP KESUMBA UMS, Dr. Aza Sherin Mohd. Yusuff dan Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan EcoCampus merangkap Penyelaras Jawatankuasa Pelaksana Program, Kueh Boon Hee.