20 Kontinjen Sertai Kejohanan Sukan IPT Sabah Kali Ke-2

ISNIN, 18 DISEMBER – Kejohanan sukan IPT Sabah Piala YB Datuk Dr Mary Yap Kain Ching kali ke-2 anjuran bersama Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Kementerian Pendidikan Tinggi disambut meriah dengan penyertaan 20 kontinjen daripada Institut Pendidikan Tinggi (IPT) seluruh Negeri Sabah di Kompleks Sukan UMS baru-baru ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching ketika berucap merasmikan temasya sukan itu berkata, penyertaan sukan dengan jumlah pasukan yang ramai sangat memberangsangkan dalam menyokong pembangunan potensi pelajar.

“Justeru, pihak Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia menyokong dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi sebarang penganjuran sukan seumpama ini yang dijayakan oleh mana-mana IPT di negeri Sabah atas tujuan meningkatkan lagi mutu sukan di peringkat IPT Negeri Sabah.

“Saya berharap semua pasukan bertandinglah dengan penuh semangat kesukanan yang tinggi untuk merebut kejayaan pasukan dengan mengekalkan semangat pertandingan dengan adil dan sihat,” katanya.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin ketika berucap pada majlis tersebut berkata, penglibatan pelajar IPT dalam kejohanan sukan pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa merupakan satu petanda positif dan sumbangan besar kepada IPT masing-masing, selain perlu diberi penghargaan atas kejayaan mengharumkan nama IPT di peringkat negeri serta kebangsaan.

 “Saya yakin kerjasama pihak terlibat khususnya Kementerian Pendidikan Tinggi serta Kementerian Belia dan Sukan antara faktor penyebab setiap kejohanan digalas dengan baik.

“Selaku tuan rumah kejohanan ini saya berharap kita dapat mengeratkan lagi silaturahim antara IPT Sabah dan menjadikan sukan ini salah satu wadah “Sabah Harmoni Melalui Sukan,” katanya.

Kejohanan sukan IPT selama dua hari itu disertai 20 kontinjen antaranya UMS Kota Kinabalu, UMS Kampus Antarabangsa Labuan, UMS Kampus Cawangan Sandakan, Universiti Teknologi MARA, KTYS, Kolej Komuniti Sandakan, Kolej Komuniti Tawau, Kolej Komuniti Tambunan, Kolej Komuniti Kota Marudu, Kolej Komuniti Beaufort, Politeknik Kota Kinabalu, Politeknik Sandakan, Institut Perguruan Kampus Kent, University College Sabah Foundation (UCSF), Asia Metropolitan College Kota Kinabalu, SIDMA College, Kolej Eastern, Poly-Tech Mara Semporna, Institut Sinaran dan Kolej Cosmopoint Kota Kinabalu.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ismail Ali, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Rasid Mail,  Pendaftar UMS, No’man Ahmad, Pengarah Pusat Pengurusan Strategik dan Komunikasi Korporat, Prof. Dr. Marcus Jopony dan wakil-wakil dari Bahagian Sukan KPT.

 

 

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.