Program PUPUK Terus Jadi Wadah Interaksi Siswa Perubatan dan Penduduk Kawasan Pedalaman Sabah

SELASA, 19 DISEMBER – Program Perkongsian Universiti-Keluarga (PUPUK) yang telah dimulakan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah sejak tahun 2006 terus menjadi wadah bagi pelajar perubatan UMS untuk berinteraksi dengan masyarakat di kawasan pedalaman Sabah.

Profesor Perubatan FPSK, Prof. Dr. Zainal Ariffin Mustapa berkata, program ini melibatkan jalinan berterusan antara universiti, Kementerian Kesihatan Malaysia, Kerajaan Negeri Sabah dan penduduk setempat dalam menjayakan program kesihatan masyarakat.

“Program ini merupakan satu aktiviti kurikulum untuk pelajar perubatan dan kejururawatan, yang antara lain turut bertujuan untuk menjalinkan hubungan silaturahim antara pihak universiti dengan masyarakat desa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu Majlis Penyerahan Keluarga Angkat Program PUPUK di Dewan Pusat Pendidikan dan Perubatan Desa (PPPD) Sikuati, Kudat yang dirasmikan oleh Pegawai Daerah Kudat, Sapdin Ibrahim baru-baru ini.

Menurut Prof. Zainal, program pada kali ini menyaksikan seramai 100 pelajar tahun satu FPSK telah diagihkan kepada 30 keluarga di Kampung Pinawantai, Matunggong, Kudat.

Sementara itu, Sapdin dalam ucapannya merakamkan penghargaan terhadap pihak pengurusan UMS di atas pemilihan daerah Kudat untuk Program PUPUK sejak program tersebut bermula lebih sedekad lalu.

“Saya percaya program ini telah memberikan impak yang positif kepada penduduk dari pelbagai kampung di sekitar Kudat sejak pelaksanaannya.

“Diharapkan agar program ini akan terus diadakan di daerah ini untuk kebaikan masyarakat di luar bandar khususnya di daerah Kudat dan kawasan sekitarnya,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Ketua Kampung Pinawantai, Suntiam Mantagilir melahirkan rasa bersyukur dan bertuah kerana kampung beliau dipilih untuk pelaksanaan program PUPUK pada kali ini.

“Melalui program ini diharap dapat meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pengetahuan dan penjagaan kesihatan diri dan keluarga kepada penduduk kampung,” katanya.

Turut hadir pada majlis tersebut Dekan FPSK, Prof. Dr. Mohd. Saffree Jeffree dan penyelaras Program PUPUK, Prof. Madya Dr. Naing Oo Tha.